AM > BERITA

Hampir 60 Hektar Kebakaran Ladang Kelapa Sawit Di Rompin Dipadamkan

29/03/2026 11:23 AM

KUANTAN, 29 Mac (Bernama) -- Hampir 60 hektar daripada 300 hektar kebakaran di sebuah ladang kelapa sawit di Rompin dipadamkan setakat 5 petang semalam. 

Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Penyelamat Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Mohd Salahuddin Isa berkata kaedah pengeboman air telah dilaksanakan 85 kali melibatkan penggunaan 68,000 liter air bagi mempercepat proses pemadaman dan mengawal kebakaran daripada merebak. 

“Kawasan operasi dibahagikan kepada empat sektor dan tumpuan hari ini  ialah pemadaman di sektor A dan C yang membabitkan tiga pasukan termasuk unit udara yang akan membantu melaksanakan pengeboman air.

“Sektor B dan D sudah terkawal setakat ini dan kita menjangkakan kebakaran ladang ini akan dapat dipadamkan sepenuhnya dalam seminggu lagi,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. 

Sementara itu, Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS) daerah Rompin mencatatkan kualiti udara tahap tidak sihat dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 152 setakat 10 pagi tadi. 

Pengarah Jabatan Alam Sekitar Pahang Zakaria Ahmad ketika dihubungi memaklumkan pihaknya akan melakukan semakan jika IPU tidak sihat itu berpunca daripada kebakaran berkenaan atau faktor lain. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan