DUNIA > BERITA

KEDUTAAN ARAB SAUDI DI KL SAMBUT HARI KEBANGSAAN KE-94 DENGAN SUASANA MERIAH

24/09/2024 09:32 AM

KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- Kedutaan Arab Saudi di Malaysia meraikan Hari Kebangsaan ke-94 dengan sambutan meriah pada Isnin, menonjolkan kemajuan dan inovasi Kerajaan itu di pentas antarabangsa.

Majlis yang dihoskan oleh Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, Mesaad Ibrahim Abdullah Al Sulaim di sebuah hotel terkemuka di sini dihadiri lebih 2,000 tetamu termasuk kenamaan dan diplomat asing.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na’im Mokhtar turut hadir sebagai tetamu kehormat.

Majlis itu turut disertai beberapa syarikat terbesar Arab Saudi, termasuk Kumpulan Minyak Arab Saudi yang dikenali sebagai Aramco, serta syarikat penerbangan nasionalnya, Saudia Airlines.

Seorang tetamu yang juga pelajar Arab Saudi yang melanjutkan pengajian di Malaysia, Mahmoud Saddiq berkata, ini merupakan kali pertama dia menyambut Hari Kebangsaan di luar negara.

“Berada di sini, menyanyikan lagu kebangsaan kami, dan bertemu dengan ramai warga Saudi di Malaysia membuatkan saya sangat bangga menjadi rakyatnya," kata Mahmoud.

Para tetamu dihidangkan dengan tarian dan lagu-lagu tradisional serta makanan autentik Arab Saudi seperti nasi kabsa yang lazat, pencuci mulut kanafeh, kopi, dan teh.

Di luar dewan, khemah-khemah gaya Badwi turut didirikan bagi memberikan pengalaman tentang gaya hidup dan budaya tradisional masyarakat nomad Arab.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan