AM > BERITA

Belanjawan Selangor 2025 Dibentang Pertengahan November - MB

24/09/2024 01:14 PM

SHAH ALAM, 24 Sept (Bernama) -- Belanjawan Selangor 2025 yang sepatutnya dibentangkan pada 8 November diubah kepada pertengahan November depan, kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata tarikh pembentangan belanjawan tahunan ini dianjak berikutan kebanyakkan pegawai agensi kerajaan negeri perlu menghadiri satu forum khas di Mesir pada tarikh itu. 

"Perbincangan lanjut mengenai perkara itu telah dijalankan dan kita telah bersiap sedia bagi pembentangan berkenaan.

"Insya-Allah sesi belanjawan akan dibuat pada minggu kedua atau ketiga November nanti," katanya ketika ditemui selepas merasmikan sesi dialog Belanjawan Selangor 2025 di sini hari ini.

Amirudin berkata kedudukan ekonomi yang kini rancak diyakini menjadi daya bantu kepada kerajaan negeri untuk menghadapi tahun 2025 dengan lebih cemerlang.

Beliau berkata antara bidang yang menjadi tumpuan dan akan terus diperkasakan adalah berkaitan teknologi kecerdasan buatan (AI) serta yang menyentuh kebajikan rakyat.

Kerajaan negeri akan menjadikan dialog belanjawan yang akan dilaksanakan secara bersiri melibatkan pihak berkepentingan sebagai platform mengenal pasti inisiatif dan nilai tambah bakal dilaksanakan kerajaan negeri tahun depan, tambah beliau.

Pada Belanjawan 2024, Selangor memperuntukkan RM2.53 bilion merangkumi RM1.33 bilion atau 52.6 peratus perbelanjaan mengurus dan RM1.2 bilion atau 47.4 peratus perbelanjaan pembangunan.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan