DUNIA > BERITA

DIPLOMAT TERMASUK WAKIL INDONESIA, TERSELAMAT DALAM SERANGAN BOM DI PAKISTAN

24/09/2024 11:00 AM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 24 Sept (Bernama) -- Sekumpulan diplomat asing termasuk wakil dari Indonesia, terselamat daripada serangan bom pada Ahad ketika dalam perjalanan ke acara yang dianjurkan oleh Dewan Perniagaan dan Industri Islamabad di Lembah Swat, wilayah Khyber Pakhtunkhwa, utara Pakistan.

Kementerian Luar Indonesia mengesahkan bahawa Kuasa Usaha Kedutaan Besar Indonesia di Islamabad, Rahmat Hindiarta terselamat selepas kejadian berlaku di jalan menuju ke Malam Jabba, kira-kira 300 kilometer dari Islamabad.

"Kuasa Usaha dan semua diplomat dilaporkan selamat dan telah kembali ke Islamabad tanpa sebarang insiden," kata jurucakap kementerian, Roy Soemirat dalam satu kenyataan pada Isnin.

Bagaimanapun, beliau berkata serangan yang dipercayai berpunca daripada alat letupan buatan sendiri, telah mengorbankan seorang pegawai polis dan mencederakan tiga yang lain.

Tiada kumpulan yang mengaku bertanggungjawab atas kejadian itu setakat ini.

Kira-kira 1,200 warga Indonesia, termasuk pelajar dan mereka yang berkahwin dengan warga Pakistan, kini menetap di negara itu dan memberi jaminan bahawa kedutaan Indonesia di Islamabad akan terus bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan keselamatan semua warganya, katanya.

Beliau juga menekankan bahawa imej-imej yang mengelirukan berkaitan insiden itu sedang tersebar di pelbagai media antarabangsa, sambil menggesa orang ramai untuk memantau liputan berita dengan berhati-hati dan bertanggungjawab.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan