EKONOMI > BERITA

MAPIM SERU SOKONGAN RENTAS POLITIK PULIH, LONJAK EKONOMI

24/09/2024 04:03 PM

KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menggesa semua pihak tanpa mengira ideologi politik supaya menyokong usaha Kerajaan MADANI memulih dan mengukuhkan ekonomi negara dalam situasi nilai ringgit yang kian mengukuh.

Presidennya Mohd Azmi Abdul Hamid berkata penurunan kadar faedah Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed AS) telah menyebabkan nilai dan pertukaran mata wang di negara-negara di dunia mengalami perubahan bergantung kepada asas ekonomi masing-masing.

Berikutan asas ekonomi Malaysia yang teguh, ringgit mengukuh berbanding sejumlah mata wang utama dunia seperti dolar Amerika Syarikat (AS) dan euro, dan turut menjadi mata wang paling kukuh di rantau Asia berbanding dolar AS.

"Menurut analisis pakar ekonomi, pengukuhan ringgit berbanding mata wang lain, termasuk Singapura, memberi banyak kelebihan kepada ekonomi Malaysia, terutamanya dalam urusan import,” katanya dalam satu kenyataan.

Ringgit mencecah kembali ke paras RM4.19 berbanding dolar AS ketika dibuka pada Selasa, dipacu oleh Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia yang lebih rendah daripada jangkaan serta penurunan kadar faedah Fed AS sebanyak 50 mata asas. Paras sokongan serta-merta ringgit kini dijangkakan pada RM4.07.

Pada 8 pagi ini, mata wang tempatan didagangkan pada 4.1995/2055 berbanding dolar AS daripada 4.2000/2060 pada Isnin.

Mohd Azmi berkata langkah-langkah yang diperkenalkan oleh kerajaan MADANI seperti rasionalisasi subsidi dan transisi guna tenaga mapan telah memberi kesan positif kepada pelabur, mengukuhkan nilai ringgit dan membuktikan Malaysia mampu bangkit kembali menjadi ekonomi yang maju dan mapan.

“Kestabilan politik di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menambah keyakinan pelabur untuk terus melabur di negara ini.

"Justeru, kami menyeru agar semua pihak, parti politik, pakar ekonomi, wakil rakyat, swasta, organisasi sivil, tokoh agamawan dan ilmuan, mengambil kesempatan bekerjasama membantu kerajaan meneruskan proses pengukuhan pertumbuhan ekonomi negara yang maju dan mapan.

"Adalah tidak wajar kepentingan politik yang sempit mendahului keutamaan mengukuhkan ekonomi negara...kebijaksanaan dan kematangan politik perlu diamalkan untuk memastikan Malaysia bergerak ke arah negara cemerlang,” katanya. 

Mohd Azmi juga berharap agar kerajaan terus menggerakkan ekonomi lestari berteraskan keadilan sosial dan menjamin kualiti hidup rakyat dan memberi keutamaan kepada keterjaminan makanan untuk mengurangkan pergantungan kepada import.

Sementara itu, beliau turut menyarankan agar penglibatan Malaysia dalam BRICS diteliti untuk memaksimumkan manfaatnya kepada negara. 

BRICS adalah blok kerjasama bagi ekonomi sedang pesat membangun yang ditubuhkan pada 2009 dan merangkumi Brazil, Rusia, India serta China dan disusuli penyertaan Afrika Selatan pada 2010.

Pada Januari 2024, negara-negara seperti Iran, Mesir, Ethiopia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) turut menyertainya sebagai anggota baharu.

Secara kumulatif, keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara anggota BRICS berjumlah US$26.6 trilion iaitu 26.2 peratus daripada KDNK dunia dan hampir menyamai kekuatan ekonomi negara kumpulan G7.

Negara anggota BRICS juga mempunyai bilangan populasi besar sebanyak 3.21 bilion yang dijangka terus meningkat menerusi penyertaan Mesir, Ethiopia, Iran dan UAE yang berpenduduk 333 juta orang, sekali gus membentuk pasaran mega merangkumi kira-kira 3.54 bilion orang atau hampir 45 peratus daripada penduduk dunia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan