EKONOMI > BERITA

AFFIN BANK OPTIMIS EKONOMI MALAYSIA DALAM PERSEKITARAN KEMUNGKINAN KEMELESETAN GLOBAL

24/09/2024 03:26 PM

GEORGE TOWN, 24 Sept (Bernama) -- Affin Bank Bhd menjangkakan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia kekal memberangsangkan pada lima peratus tahun ini dan pada 5.2 peratus tahun depan meskipun berhadapan kemungkinan kecil kemelesetan global.

Ketua Ahli Ekonomi kumpulan Alan Tan Chew Leong berkata sebagai sebuah ekonomi terbuka, Malaysia bersedia mendapat manfaat daripada kemajuan luaran yang bertambah baik, seiring dengan unjuran pertumbuhan global Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) sebanyak 3.2 peratus untuk 2024 dan 3.3 peratus pada 2025. 

Tan berkata peserta pasaran agak bimbang akan berlakunya kemelesetan pada 2025, yang tercetus berikutan peningkatan data pengangguran Amerika Syarikat (AS) kepada 4.3 peratus pada Julai daripada empat peratus pada Jun.  

"Bagaimanapun, kadar pengangguran semasa AS masih rendah berbanding kemelesetan sebelumnya. Selain itu, momentum perdagangan global terus meningkat, dengan pemulihan sektor pembuatan, dipacu terutamanya oleh pasaran pesat membangun.

"Jika dilihat petunjuk makroekonomi utama tidak memperlihatkan kemelesetan global tahun ini atau tahun depan. Kemungkinan tersebut hanya pada 20 peratus," katanya pada Bengkel Interaktif Affin di sini hari ini.

Bagaimanapun, Tan mengingatkan bahawa potensi risiko yang boleh mencetuskan kemelesetan  termasuk penguncupan ekonomi AS dan penurunan KDNK China di bawah lima peratus, yang mampu menurunkan pertumbuhan global kepada tiga peratus. 

Beliau berkata IMF mengunjurkan dua penyumbang terbesar KDNK dunia, iaitu AS dan China masing-masing berkembang pada 2.6 peratus dan lima peratus tahun ini.

Mengulas mengenai ringgit yang mendapat kelebihan berikutan penurunan kadar faedah Rizab Persekutuan AS (Fed), Tan menjangkakan ia akan berlegar pada paras RM4.20 berbanding dolar AS sehingga hujung tahun ini.

"Ringgit berupaya untuk terus mengukuh susulan Fed berkemungkinan akan menurunkan lagi 50 mata asas menjelang hujung tahun ini dan tahun depan, sekali gus memberikan kelebihan pada ringgit.

"Selain itu, sentimen terhadap mata wang tempatan itu semakin pulih dalam kalangan syarikat multinasional, kerana mereka melihat perubahan asas ringgit dan peningkatan aktiviti pelaburan, yang dijangka berterusan," katanya.

Menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), pelaburan diluluskan Malaysia melonjak lagi kepada RM329.5 bilion tahun lepas, dan kerajaan menjangkakan peningkatan lima peratus lagi dalam pelaburan yang diluluskan tahun ini.

Tan berkata sebaik sahaja pelaburan yang diluluskan ini direalisasikan, ia akan membawa lebih banyak berita baik untuk Malaysia dan ringgit.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan