DUNIA > BERITA

RAKYAT MALAYSIA DINASIHAT TINGGALKAN LUBNAN SECARA SUKARELA

25/09/2024 09:11 PM

PUTRAJAYA, 25 Sept (Bernama) -- Rakyat Malaysia di Lubnan dinasihatkan membuat persiapan segera untuk meninggalkan negara itu secara sukarela berikutan keadaan yang semakin meruncing.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan pada Rabu memaklumkan warganegara Malaysia juga diminta menangguhkan semua perjalanan ke Lubnan sehingga keadaan di negara itu kembali stabil.

Menurut Kementerian Luar, rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Beirut di Lot 170, Saad Zaghloul Street, Downtown, Beirut, Republik Lubnan atau melalui nombor telefon: +961 7677 2527, +961 7138 0063 serta e-mel mwbeirut@kln.gov.my

Kementerian Luar berkata Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan udara rejim Zionis Israel di Lubnan baru-baru ini yang telah mengakibatkan lebih 500 kematian dan mencederakan lebih 1,600 orang.

"Serangan ini telah menyebabkan ribuan orang kehilangan tempat tinggal dan merupakan pelanggaran serius terhadap undang-undang antarabangsa, undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan undang-undang hak asasi manusia antarabangsa," menurut kenyataan itu.

Kementerian Luar yang dikenali sebagai Wisma Putra berkata pencerobohan sedemikian tidak boleh diterima oleh masyarakat antarabangsa kerana ia melanggar integriti wilayah dan kedaulatan Lubnan. 

Kementerian itu berkata operasi ketenteraan unilateral bukan sahaja akan meningkatkan lagi ketegangan di Lubnan dan serantau, tetapi juga menimbulkan risiko besar kepada negara jiran serta masyarakat antarabangsa.

"Tindakan rejim Zionis Israel memperluaskan operasi ketenteraannya ke Lubnan dan pada masa yang sama meneruskan pembunuhan beramai-ramai di Gaza di hadapan mata masyarakat antarabangsa sama sekali tidak dapat diterima. Pengabaian secara terang-terangan terhadap nyawa manusia dan norma antarabangsa ini tidak boleh diterima dan tindakan tegas perlu diambil," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Malaysia menyeru Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) untuk mengambil tindakan segera dan tegas dalam menghentikan serangan kejam yang sedang berlaku di Palestin dan Lubnan bagi melindungi orang awam.

Wisma Putra berkata adalah penting bagi masyarakat antarabangsa perlu bertindak secara bersama dengan segera. 

"Malaysia menggesa UNSC melaksanakan tanggungjawab berlandaskan piagamnya bagi menamatkan kitaran keganasan ini. Pendekatan diplomatik dan komitmen terhadap dialog adalah penting dalam memastikan keamanan yang berkekalan di rantau ini," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan