DUNIA > BERITA

WARTAWAN FOTO LUBNAN TERBUNUH DALAM SERANGAN UDARA ISRAEL DI SELATAN LUBNAN

25/09/2024 10:00 PM

BEIRUT, 25 Sept (Bernama-Anadolu) -- Seorang wartawan foto yang bekerja untuk stesen televisyen tempatan al-Manar terbunuh dalam serangan udara Israel di selatan Lubnan pada Rabu.

Dalam satu kenyataan, al-Manar menyatakan kesedihan atas kematian Kamel Karaki dalam serangan yang menyasarkan kampung halamannya di Qantara, lapor Agensi Anadolu.

Kematian Karaki berlaku sehari selepas Hadi al-Sayyed, seorang wartawan televisyen Al-Mayadeen, terbunuh dalam serangan Israel di rumahnya di selatan Lubnan.

Sekurang-kurangnya 19 orang terbunuh dan berpuluh-puluh lagi cedera dalam gelombang serangan udara Israel yang baharu di seluruh Lubnan pada Rabu, menurut pihak berkuasa kesihatan.

Tentera Israel mengebom beberapa kawasan di Lubnan sejak pagi Isnin di tengah-tengah peningkatan peperangan rentas sempadan dengan kumpulan Hizbullah.

Lebih 570 orang terbunuh dan lebih 1,800 yang lain cedera, menurut angka yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan.

Hizbullah dan Israel terlibat dalam peperangan rentas sempadan sejak bermulanya peperangan Israel ke atas Gaza, yang mengorbankan hampir 41,500 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak sejak 7 Oktober.

Masyarakat antarabangsa memberi amaran terhadap serangan ke atas Lubnan, kerana ia meningkatkan risiko penyebaran konflik Gaza ke rantau lain.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan