DUNIA > BERITA

THAILAND TIDAK BERHASRAT MANSUHKAN SKIM PENGECUALIAN VISA

25/09/2024 09:51 PM

BANGKOK, 25 Sept (Bernama) -- Thailand tidak akan memansuhkan skim pengecualian visa dan visa semasa ketibaan yang sedia ada susulan cadangan pelaksanaan sistem Kebenaran Perjalanan Elektronik (ETA), menurut Kementerian Luar Thai (MFA).

Ketua Pengarah Jabatan Penerangan dan Jurucakap MFA Nikorndej Balankura berkata sistem ETA akan digunakan untuk memudahkan prosedur imigresen, membolehkan maklumat pelancong diserahkan secara elektronik sebelum berlepas bagi mempercepatkan proses semasa ketibaan.

"Sistem ini akan melengkapi usaha kami untuk menyelaras proses visa, termasuk skim pengecualian visa dan visa semasa ketibaan, yang kekal sah serta merupakan sebahagian daripada dasar kerajaan Thailand untuk menambah baik perjalanan antarabangsa ke Thailand," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Bagaimanapun, Nikorndej tidak mengumumkan tarikh pelaksanaan ETA di Thailand.

Buat masa ini, beliau berkata pihak berkuasa di Thailand sedang membincangkan format dan kaedah terbaik untuk sistem ini diguna pakai kepada pelancong antarabangsa.

"Ia memerlukan pertimbangan lanjut dan penyelarasan sebelum dilaksanakan, termasuk jangka masa yang tepat bagi pelaksanaan ETA," katanya.

Pelancong dinasihatkan untuk mengikuti perkembangan terkini daripada kementerian luar, biro imigresen, dan Polis Diraja Thai mengenai tarikh pelancaran sistem ETA.

Pada masa ini, Thailand menawarkan pengecualian visa selama 60 hari kepada pelancong dari 93 negara termasuk Malaysia, manakala visa semasa ketibaan dikenakan kepada warganegara dari 31 negara dan wilayah.

Media tempatan melaporkan bahawa pelancong dari 93 negara yang layak pengecualian visa perlu memohon ETA, yang dijadual dilancarkan pada Disember 2024, sebelum melakukan perjalanan ke Thailand.

Thailand mengalu-alukan 17.5 juta pelancong asing dan menjana pendapatan kira-kira 825.541 bilion baht (sekitar RM106.22 bilion) pada separuh pertama 2024.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan