SONGKHLA, 31 Dis (Bernama) -- Lebih 150,000 pelancong dari Malaysia, Singapura, dan Indonesia telah bercuti di wilayah selatan Thailand sempena cuti Krismas dan Tahun Baharu, menyumbang lebih 1 bilion Baht (100 Baht = RM13.04) kepada ekonomi tempatan.
Presiden Persatuan Perhotelan Hatyai-Songkhla, Sittipong Sitthipatrapha berkata Thailand kekal sebagai destinasi pilihan pelancong dari ketiga-tiga negara itu kerana menawarkan pelbagai produk pelancongan menarik serta makanan pada harga berpatutan.
“Lebih 30,000 bilik hotel telah ditempah penuh oleh pelancong tempatan dan antarabangsa di wilayah selatan Thailand sejak 25 Dis, terutamanya di Hatyai dan Songkhla,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Selasa.
Antara lokasi tumpuan pelancong di Wilayah Songkhla termasuk Pantai Samila, Bandar Lama Songkhla, dan Pasar Terapung Khlong Hae. Di Wilayah Pattani pula, kawasan seperti Bulatan Menara Jam dan Jalan Lang Kwaeng adalah antara kawasan tarikan pelancong yang utama.
Seorang pelancong dari Malaysia, Yusniza Mohd Yussof dari Pulau Pinang yang ditemui di Pattani, berkata beliau bersama keluarganya memilih untuk bercuti di selatan Thailand kerana lokasinya yang dekat, makanan yang lazat, serta penginapan yang murah.
"Saya dan keluarga sering melancong ke Thailand kerana makanan di negara itu sedap, murah, dan berpatutan. Tambahan pula, hotel juga menawarkan harga yang rendah dan selesa," katanya.
Menurut Yusniza, keluarganya gemar berkunjung ke Wilayah Pattani dan Narathiwat kerana terdapat banyak pilihan makanan halal, dan penduduk di kawasan itu sangat peramah.
Terdahulu, Menteri Pelancongan dan Sukan Thailand Sorawong Thienthong berkata seramai 35 juta pelancong antarabangsa telah melawat Thailand dari 1 Januari hingga 29 Disember 2024 dan menjana pendapatan pelancongan lebih 1.66 trilion Baht.
Beliau berkata pelancong dari China terus mendahului senarai dengan jumlah melebihi 6.7 juta orang, diikuti Malaysia berada di tempat kedua dengan 4.9 juta pelancong dan India (2.1 juta), Korea Selatan (1.8 juta), dan Rusia (1.7 juta).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial