DUNIA > BERITA

DUTA MALAYSIA KE ARGENTINA TEKANKAN HUBUNGAN KIAN ERAT PADA SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN

25/09/2024 11:53 PM

KUALA LUMPUR, 25 Sept (Bernama) -- Duta Besar Malaysia ke Argentina Nur Azman Abdul Rahim menegaskan komitmen teguh negara untuk meningkatkan kerjasama dengan Argentina dalam pelbagai bidang. 

Bercakap dalam majlis sambutan Hari Kebangsaan ke-67, Hari Malaysia ke-61 dan memperingati ulang tahun ke-57 hubungan diplomatik Malaysia-Argentina di Buenos Aires baru-baru ini, Duta Besar menekankan persahabatan dan kerjasama berkekalan antara kedua-dua negara yang semakin kukuh, berlandaskan rasa hormat dan dan nilai bersama. 

Menurut kenyataan Kedutaan yang dihantar ke sini, Nur Azman menyoroti penglibatan ekonomi Malaysia di Argentina melalui PETRONAS, IJM Corporation dan Seri Inderajaya Holdings Sdn Bhd, meletakkan Malaysia sebagai antara pelabur terbesar di negara itu.

Pelaburan itu berjumlah lebih US$15 bilion, manakala jumlah dagangan antara Malaysia dan Argentina pada 2023 berjumlah US$1.6 bilion.

Beliau turut menekankan potensi kerjasama antara kedua-dua negara, terutamanya dalam kerjasama halal dan perkhidmatan dron.

Selain itu, beliau juga menonjolkan kemasukan syarikat perkhidmatan dron Malaysia, Aerodyne, ke pasaran Argentina yang akan datang.

Nur Azman turut menggalakkan Argentina untuk menjadi Rakan Pembangunan ASEAN.

Beliau menegaskan bahawa ini akan menjadi langkah logik seterusnya bagi Argentina untuk memperdalam hubungan dengan ASEAN, terutamanya memandangkan negara Amerika Latin itu menandatangani Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC) pada 2018, menurut kenyataan itu.

Malaysia akan memegang jawatan Pengerusi ASEAN pada 2025.

Sementara itu, Naib Menteri Luar, Perdagangan Antarabangsa dan Ibadat Argentina Leopoldo Sahores, yang menjadi tetamu kehormat pada majlis berkenaan, menekankan hubungan dua hala yang semakin berkembang serta nilai tinggi Argentina terhadap hubungannya dengan Malaysia dalam aspek dasar, budaya, dan ekonomi.

Beliau melahirkan keyakinan terhadap peningkatan pelaburan silang antara syarikat Malaysia dan Argentina serta mengakui penglibatan Malaysia dalam industri daging dan tenusu Argentina, menurut kenyataan itu.

Naib Menteri itu turut menekankan komitmen Argentina untuk bekerjasama dengan ASEAN dan ahlinya, sambil menekankan kepentingan TAC yang merangkumi prinsip seperti penghormatan terhadap kedaulatan, tidak campur tangan, persamaan antarabangsa, integriti wilayah dan penyelesaian konflik secara aman.

Majlis sambutan yang bertemakan, "Malaysia-Argentina: The Ties That Bind", dihadiri kira-kira 200 tetamu yang mewakili pelbagai individu dan organisasi serta diaspora Malaysia di Argentina.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan