DUNIA > BERITA

RESPONS IRAN TERHADAP PENCEROBOHAN ISRAEL BERDASARKAN HAK SAH - PRESIDEN PEZESHKIAN

02/10/2024 09:03 AM

Oleh Shakir Husain

NEW DELHI, 2 Okt (Bernama) -- Presiden Iran Masoud Pezeshkian berkata serangan peluru berpandu negaranya ke atas Israel adalah berdasarkan hak sah terhadap pencerobohan rejim Zionis.

Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) pada Selasa malam melancarkan puluhan peluru berpandu terhadap pangkalan tentera Israel, termasuk satu yang menempatkan pesawat F-35.

IRGC menggunakan peluru berpandu hipersonik Fattah untuk memusnahkan radar sistem antipeluru berpandu Arrow Israel, lapor media Iran.

“Sebagai tindak balas ke atas pemergian (ketua Hamas) Ismail Haniyeh, (pemimpin Hizbullah) Hassan Nasrallah, dan komander IRGC Abbas Nilforushan, kami menyasarkan pusat wilayah yang diduduki,” kata IRGC dalam satu kenyataan.

Haniyeh dibunuh oleh Israel di Tehran selepas pemimpin Palestin itu menghadiri upacara angkat sumpah Pezeshkian pada Julai.

Israel telah melakukan banyak pembunuhan di rantau itu selain daripada melakukan pengeboman berterusan di Palestin, Syria, Lubnan dan Yaman.

Dalam satu tindakan yang memburukkan keadaan minggu lepas, tentera Israel membunuh Nasrallah, Nilforushan, dan beberapa pemimpin Hizbullah yang lain, memusnahkan seluruh kawasan perumahan yang padat penduduk di selatan Beirut dengan dilaporkan menjatuhkan 85 bom Amerika, setiap satunya seberat 1,000 kilogram.

Presiden Iran berkata tindakan melancarkan peluru berpandu pada Selasa malam adalah bagi mempertahankan kepentingan dan rakyat Iran.

“Biarlah (pemimpin Israel Benjamin) Netanyahu tahu bahawa Iran bukanlah sebuah negara yang suka berperang, tetapi ia berdiri teguh menentang sebarang ancaman. Ini hanya sedikit gambaran kuasa kami. Jangan sesekali mencetuskan konflik terhadap Iran,” tulis Pezeshkian di akaun X miliknya.

Iran juga telah memberi amaran akan tindakan selanjutnya jika Israel yang telah membunuh kira-kira 42,000 orang di Gaza dan lebih 1,000 di Lubnan dalam tempoh hampir 12 bulan, melakukan sebarang serangan terhadap Iran.

"Respons Iran yang sah, rasional, dan berhak terhadap tindakan pengganas rejim Zionis -- yang melibatkan penyasaran warga dan kepentingan Iran serta melanggar kedaulatan negara Republik Islam Iran -- telah dilaksanakan dengan sewajarnya," menurut misi tetap Iran ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dalam satu kenyataan.

"Jika rejim Zionis berani bertindak balas atau melakukan tindakan jahat selanjutnya, tindak balas seterusnya yang menghancurkan akan menyusul. Negara serantau dan penyokong Zionis dinasihatkan untuk menjauhkan diri daripada rejim itu," katanya.

Israel berkata Iran telah melancarkan kira-kira 180 peluru berpandu tetapi mendakwa sebahagian besar daripadanya dipintas oleh sistem pertahanan udaranya.

Negara-negara Barat yang kebanyakannya 'disenyapkan' mengenai serangan Israel di rantau itu, segera mengecam serangan Iran ke atas sasaran ketenteraan Israel.

Amerika Syarikat menghantar lebih banyak tentera dan pesawat perang ke Timur Tengah untuk menyokong Israel.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan