DUNIA > BERITA

LAWATAN ANWAR IBRAHIM KE BANGLADESH BAKAL TINGKATKAN KERJASAMA DUA HALA

03/10/2024 09:42 PM

Oleh Rohani Mohd Ibrahim

KUALA LUMPUR, 3 Okt (Bernama) -- Lawatan rasmi singkat Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Bangladesh pada Jumaat telah mencetuskan jangkaan yang besar, dengan media tempatan di Bangladesh sudah menguar-uarkan potensi impak lawatan itu.

Menurut Dhaka Tribune, ini merupakan lawatan pertama oleh Perdana Menteri Malaysia ke Bangladesh dalam tempoh hampir 11 tahun dan menandakan lawatan pertama oleh ketua kerajaan asing di bawah pentadbiran sementara yang dipimpin oleh Penerima Nobel Dr. Muhammad Yunus.

Lawatan rasmi terakhir oleh Perdana Menteri Malaysia adalah pada November 2013 apabila Datuk Seri Najib Tun Razak melawat Dhaka.

Dhaka Tribune turut memetik seorang pegawai yang berkata, "Ada hubungan persahabatan antara Penasihat Utama (Dr. Muhammad Yunus) dan Perdana Menteri Malaysia. Persahabatan ini mungkin mempengaruhi keputusan Anwar untuk singgah di Dhaka dalam perjalanan pulang dari Islamabad."

Anwar kini dalam lawatan rasmi tiga hari ke Pakistan dan akan singgah sebentar di Dhaka selama kira-kira empat jam sebelum kembali ke Malaysia.

Walaupun singkat, pertemuan dua hala dengan Dr. Muhammad Yunus dan perbincangan berasingan dengan Presiden Bangladesh Mohammed Shahabuddin dilihat sebagai strategik dan penting.

Pihak media menyatakan harapan bahawa lawatan Anwar dapat membuka jalan kepada sokongan Malaysia terhadap reformasi Bangladesh serta kerjasama aktif dalam usaha penghantaran pulang pelarian Rohingya dalam rangka kerja ASEAN.

Dengan Malaysia dijadualkan memegang jawatan Pengerusi ASEAN pada 2025, isu ini berkemungkinan menjadi topik utama perbincangan semasa lawatan itu.

Sementara itu, Daily Sun, sebuah lagi entiti media di Bangladesh melaporkan bahawa Presiden Dewan Perniagaan dan Industri Bangladesh-Malaysia (BMCCI), Shabbir A Khan, menyatakan keyakinan mengenai potensi lawatan itu untuk mengukuhkan hubungan dua hala.

Shabbir menekankan minat Bangladesh untuk mengadakan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan Malaysia bagi meningkatkan perdagangan dan pelaburan.

Beliau berkata kedua-dua negara boleh meneroka peluang kerjasama baharu dalam sektor utama seperti tekstil, teknologi komunikasi dan maklumat (ICT), teknologi dan pertanian, yang boleh menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi kedua-dua pihak.

"Lawatan Anwar juga boleh memajukan usaha Bangladesh untuk menjadi rakan dialog sektor ASEAN," kata Shabbir, sambil menambah bahawa peranan Malaysia sebagai anggota ASEAN boleh menjadi faktor penting dalam menyokong aspirasi Bangladesh.

Shabbir turut menekankan komitmen Malaysia dalam menyokong Bangladesh mencari penyelesaian lestari bagi krisis Rohingya dan menyatakan bahawa BMCCI percaya Malaysia menyokong kemasukan Bangladesh dalam rangka kerja ASEAN.

United News of Bangladesh (UNB), dalam laporannya pada Khamis, memetik Penasihat Hal Ehwal Luar Bangladesh Md Touhid Hossain berkata bahawa perbincangan dua hala antara Anwar dan Muhammad Yunus dijangka meliputi pelbagai bidang, termasuk hubungan ekonomi dan perdagangan, kerjasama politik, pelaburan, eksport tenaga kerja, kerjasama pendidikan tinggi, teknologi, pembangunan infrastruktur, dan kerjasama pertahanan.

Laporan itu menyebut bahawa Malaysia kini merupakan pelabur kelapan terbesar di Bangladesh, dengan syarikat Malaysia  telah melabur lebih US$5 bilion di negara itu. Pengeluar kereta kedua dari Malaysia baru-baru ini menandatangani perjanjian dengan syarikat berpusat di Chattogram untuk mengedarkan dan memasang kereta, yang menyerlahkan pertumbuhan hubungan ekonomi antara kedua-dua negara.

Dengan perkembangan ini, lawatan Anwar berpotensi meningkatkan kerjasama dua hala dan meletakkan asas bagi perkongsian strategik baharu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan