DUNIA > BERITA

THAILAND SEDIA BAWA KELUAR PEKERJA DARI ISRAEL SUSULAN KONFLIK YANG SEMAKIN MEMUNCAK

03/10/2024 10:18 PM

BANGKOK, 3 Okt (Bernama) -- Thailand sedang bersedia untuk  menyelaras usaha membawa keluar rakyatnya dari Israel ketika konflik serantau semakin memuncak, susulan serangan peluru berpandu balistik oleh Iran dan operasi ketenteraan yang semakin meningkat antara Israel dan Hizbullah di Lubnan.

Jurucakap Kementerian Luar Thailand (MFA) Nikorndej Balankura menegaskan komitmen kerajaan Thailand untuk memastikan keselamatan warganya di wilayah itu.

"Melindungi nyawa dan kesejahteraan rakyat Thailand tetap menjadi keutamaan kami. Kementerian telah mengarahkan kedutaan Thailand di seluruh wilayah untuk memantau situasi dengan teliti dan bertindak pantas bagi melindungi rakyat Thailand," katanya pada sidang media, Khamis.

Beliau berkata MFA juga telah melaksanakan beberapa langkah berjaga-jaga untuk meningkatkan keselamatan warga Thailand termasuk mengeluarkan nasihat agar rakyat Thailand di Israel dan negara jiran meninggalkan rantau itu, mengarahkan kedutaan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan untuk menempatkan semula warga Thailand, memberikan arahan jelas tentang cara rakyat Thailand di Israel dan wilayah berdekatan boleh mendapatkan bantuan kecemasan, serta bekerjasama dengan Kementerian Buruh untuk menghentikan sementara penghantaran pekerja Thailand ke Israel.

Sementara itu, Nikorndej berkata kedutaan Thailand di Tel Aviv masih belum menerima permintaan rasmi untuk pemindahan, tetapi telah merangka pelan kontingensi.

"Ini termasuk memindahkan rakyat Thailand ke lokasi yang lebih selamat dalam Israel dan bersiap sedia untuk kemungkinan pemindahan ke negara jiran atau pulang ke Thailand jika konflik semakin memuncak," tambahnya.

Nikorndej menegaskan bahawa situasi sedang dipantau rapi, dan kerajaan bersedia untuk bertindak pantas bagi memastikan keselamatan semua rakyat Thailand di wilayah itu.

Terdapat kira-kira 30,000 pekerja Thailand di Israel, kebanyakannya bekerja dalam sektor pertanian, yang mungkin terjejas oleh situasi keselamatan yang semakin buruk.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan