DUNIA > BERITA

BANK DUNIA LULUSKAN BANTUAN UNTUK NAIK TARAF JALAN LUAR BANDAR DI LAOS

03/10/2024 10:22 PM

VIENTIANE, 3 Okt (Bernama-Xinhua) -- Bank Dunia telah meluluskan projek baharu berjumlah US$56 juta untuk menaik taraf jalan di Laos, membantu kira-kira 600,000 orang mengakses perkhidmatan awam dan pasaran dengan lebih mudah serta menjadikan jalan luar bandar lebih tahan terhadap perubahan iklim, lapor Xinhua memetik Agensi Berita Laos.

Projek Penambahbaikan Keterhubungan Jalan Raya Kalis Iklim Laos  akan membantu Kerajaan Laos untuk menambah baik  kira-kira 300 kilometer (km) jalan daerah dan luar bandar di Wilayah Khammuan, Saravan, dan Savannakhet menurut Agensi Berita Laos pada Khamis.

Projek ini dibiayai oleh Persatuan Pembangunan Antarabangsa (IDA) Bank Dunia, yang membantu negara berpendapatan rendah membina masa depan yang lebih baik melalui kredit berkadar faedah rendah yang boleh dibayar balik dalam tempoh yang panjang.

Pelaburan jalan di Laos cenderung untuk memberi tumpuan kepada laluan utama negara, menyebabkan kawasan pedalaman kurang mendapat perkhidmatan. Dengan kejadian cuaca ekstrem seperti hujan lebat dan banjir semakin kerap berlaku, jalan sedia ada juga menjadi lebih sukar untuk digunakan.

Projek baharu ini direka khas untuk memberi manfaat kepada petani dan wanita, dengan menyediakan hubungan sepanjang tahun kepada perkhidmatan yang mereka perlukan untuk membantu keluarga dan komuniti berkembang maju.

Projek ini juga akan menyokong program latihan amali untuk pelajar wanita universiti dan siswazah baharu, menyediakan latihan berbayar selama enam bulan dalam bidang pengangkutan dan pembinaan di Kementerian Kerja Raya dan Pengangkutan Laos.

-- BERNAMA-XINHUA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan