DUNIA > BERITA

KERAJAAN AKAN TERUS TEGAKKAN STANDARD INTEGRITI TERTINGGI - PM SINGAPURA

03/10/2024 10:38 PM

SINGAPURA, 3 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong berkata kerajaan pimpinannya akan terus menegakkan standard integriti dan tatasusila tertinggi susulan hukuman terhadap bekas Menteri Pengangkutan, S. Iswaran, pada Khamis.

Wong yang juga Menteri Kewangan berkata sistem negara ini memastikan semua pegawai awam bertanggungjawab dan tiada sesiapa yang terlepas daripada pengawasan atau di atas undang-undang.

“Saya dan pasukan saya akan terus menegakkan standard integriti dan tatasusila tertinggi. Integriti sistem Singapura dan nada masyarakat kita bergantung secara kritikal kepada kepimpinan politik kanan yang kekal bersih dan tidak dapat disuap serta cekal dalam bertindak terhadap rasuah di mana sahaja ia ditemukan.

“Kami akan melakukan apa yang betul untuk Singapura dan rakyat Singapura, tanpa mengira kos politik atau kesan peribadi yang kami rasai apabila seorang rakan sekerja dan sahabat dipenjarakan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Iswaran dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis selepas mengaku bersalah minggu lepas atas empat pertuduhan menerima barang berharga sebagai penjawat awam (Seksyen 165 Kanun Keseksaan) dan satu pertuduhan menghalang keadilan (Seksyen 204A(a) Kanun Keseksaan).

Wong turut menyatakan kekecewaan dan kesedihannya kerana kerjaya politik Iswaran berakhir dengan cara sebegini.

Beliau berkata Iswaran, 62, telah menjadi Ahli Parlimen (MP) yang aktif dan terlibat selama lebih daripada 25 tahun serta membuat sumbangan besar dalam semua portfolio menteri yang disandangnya.

“Namun, sumbangan lalu beliau tidak membetulkan kesalahan ini. Walaupun amat menyakitkan untuk bertindak terhadap rakan sekerja dan sahabat, adalah kewajipan kita untuk berbuat demikian apabila perlu,” kata Wong, menekankan bahawa sistem kerajaan dan politik Singapura mesti sentiasa kekal bersih dan bebas daripada rasuah.

Beliau berkata mereka yang diberi amanah untuk berkhidmat dalam perkhidmatan awam mesti menegakkan standard integriti tertinggi dan tingkah laku mereka mesti di luar daripada sebarang celaan.

“Ini amat penting dan tidak boleh dirunding,” katanya, sambil menambah bahawa individu yang terjebak dengan rasuah dan tersasar perlu sedar bahawa tindakan mereka lambat laun akan terbongkar dan mereka akan bertanggungjawab atas perbuatan itu.

Wong berkata dalam kes Iswaran, Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) telah menemukan maklumat yang mengaitkan beliau dan membawa perkara itu kepada perhatian Perdana Menteri ketika itu, Lee Hsien Loong.

Lee, katanya, segera memberi kebenaran kepada CPIB untuk memulakan siasatan rasmi, yang kemudiannya dilaksanakan oleh CPIB secara menyeluruh dan proaktif.

Wong berkata Pendakwa Raya telah menilai dapatan CPIB secara bebas dan memutuskan untuk mendakwa Iswaran, yang kemudiannya meletakkan jawatan sebagai Menteri, Ahli Parlimen, dan ahli Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang memerintah. 

“(Beliau) mengaku bersalah dan kini telah dijatuhkan hukuman,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan