DUNIA > BERITA

KELAS PERTENGAHAN INDONESIA MENYUSUT, KEMISKINAN KEKAL STABIL - PEJABAT PRESIDEN

04/10/2024 03:21 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 4 Okt (Bernama) -- Pejabat Staf Presiden (KSP) Indonesia mengakui terdapat penyusutan membabitkan golongan kelas pertengahan negara itu, namun memberi jaminan bahawa trend ini tidak membawa kepada peningkatan kadar kemiskinan.

Dalam seminar nasional bertajuk ‘Evaluating One Decade of Jokowi’s Administration’, Timbalan III KSP bagi Hal Ehwal Ekonomi, Edy Priyono mengesahkan penurunan kelas pertengahan, namun menegaskan bahawa golongan ini tidak jatuh ke dalam kancah kemiskinan.

"Jika itu berlaku, kita akan melihat peningkatan kadar kemiskinan, namun ia tidak berlaku," katanya seperti yang dipetik Kompas, ketika membincangkan laporan terkini Badan Pusat Statistik (BPS).

Menurut laporan itu, kira-kira 9.48 juta orang tidak lagi tersenarai dalam golongan kelas pertengahan dalam tempoh lima tahun lalu, menjadikan jumlah terkini kepada 47.85 juta orang, atau 17.13 peratus daripada populasi.

Edy turut menekankan data BPS yang menunjukkan bahawa kadar kemiskinan dan ketidaksamaan telah menurun sejak Presiden Joko Widodo, yang lebih dikenali sebagai Jokowi mengambil alih pentadbiran pada 2014.

Kadar kemiskinan jatuh daripada 11.25 peratus pada 2014 kepada 9.03 peratus pada ketika ini, manakala kemiskinan tegar menurun daripada 6.18 peratus kepada hanya 0.83 peratus.

Beliau juga menegaskan bahawa pertumbuhan ekonomi sepanjang pentadbiran Jokowi adalah stabil, dengan purata 5.07 peratus setiap tahun sepanjang dekad yang lalu, tidak termasuk tahun pandemik 2020-2021.

Edy turut mengakui kritikan berhubung kegagalan kerajaan mencapai sasaran pertumbuhan ekonomi lapan peratus Jokowi, dengan menyatakan, “Itu hanya sebahagian daripada gaya kepimpinannya. Beliau secara konsisten menetapkan matlamat yang bercita-cita tinggi.”

Presiden terpilih Prabowo Subianto yang akan menggantikan Jokowi pada 20 Oktober ini, menetapkan sasaran pertumbuhan yang lebih tinggi iaitu lapan peratus.

Pada Forum Ekonomi Qatar pada Mei, Prabowo meluahkan keyakinannya untuk mencapai sasaran itu dalam tempoh dua hingga tiga tahun pertama pentadbirannya, dengan tumpuan khusus kepada keselamatan makanan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan