DUNIA > BERITA

PENDEKATAN ASEAN TERHADAP GEOPOLITIK JADI CONTOH BAGI NEGARA MEMBANGUN

22/10/2024 09:55 PM

Oleh Thivyamalini Ramalu

PUTRAJAYA, 22 Okt (Bernama) -- Pendekatan bernuansa dan praktikal ASEAN untuk menguruskan persaingan geopolitik di kalangan kuasa besar semakin dilihat sebagai contoh berharga bagi dunia membangun, kata Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata tumpuan ASEAN terhadap berkecuali, dialog, dan kerjasama serantau telah menjadi kunci untuk memelihara kestabilan di Asia Tenggara di tengah-tengah persaingan luar.

“Sebagai contoh, perdagangan ASEAN dengan China mencatatkan US$696.7 bilion pada 2023, mencerminkan kedudukan China sebagai rakan dagangan terbesar kami sejak 2009. Pada masa yang sama, perdagangan dengan Amerika Syarikat berjumlah US$395.9 bilion,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptamanya pada majlis pelancaran logo berinspirasikan Bunga Raya dan bertemakan "Keterangkuman dan Kemampanan," bagi Pengerusian ASEAN-Malaysia 2025, yang diadakan di Kementerian Luar (Wisma Putra) hari ini.

Mohamad menambah imbangan diplomatik ini telah menghasilkan pertumbuhan ketara dalam pelaburan langsung asing (FDI) untuk ASEAN.

“Tahun lepas, kami berjaya menarik sejumlah US$229.8 bilion dalam FDI, dengan China dan Amerika Syarikat disenaraikan sebagai penyumbang utama. Kemasukan pelaburan ini sangat penting dalam memacu penciptaan pekerjaan, pemindahan teknologi dan pembangunan infrastruktur di seluruh rantau ini, katanya.

Hadir pada majlis itu Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz (Menteri Penyelaras Bagi Tonggak Ekonomi ASEAN); Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing (Menteri Penyelaras Bagi Tonggak Sosiobudaya ASEAN) dan Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin.

Turut hadir pegawai kanan kerajaan, ketua perwakilan asing ke Malaysia dan wakil pertubuhan antarabangsa serta wakil media.

Pada 11 Okt, Laos secara rasmi menyerahkan jawatan Pengerusi ASEAN kepada Malaysia semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 di Vientiane. Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima tukul Kepengerusian ASEAN daripada rakan sejawatnya dari Laos Sonexay Siphandone.

Anwar berkata Kepengerusian Malaysia akan memulakan lembaran baharu di bawah ”Visi Komuniti ASEAN 2045”.

Malaysia pernah memegang jawatan Pengerusi ASEAN pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.

ASEAN yang diasaskan pada 8 Ogos 1967, kini terdiri daripada 10 negara anggota Asia Tenggara, dengan keahlian penuh Timor-Leste masih lagi dalam proses.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan