DUNIA > BERITA

SEPANYOL, PORTUGAL SERU PERSIDANGAN KEAMANAN ANTARABANGSA DEMI PENYELESAIAN DUA NEGARA

22/10/2024 07:50 PM

MADRID, 22 Okt (Bernama-Anadolu) -- Sepanyol dan Portugal menyeru agar satu persidangan keamanan antarabangsa diadakan secepat mungkin bagi mencari penyelesaian dua negara di Timur Tengah, lapor Agensi Anadolu.

Menteri luar dan pertahanan kedua-dua negara itu bertemu di Madrid pada Isnin, sebelum Sidang Kemuncak Antara Kerajaan Sepanyol-Portugal ke-35 yang akan berlangsung di Faro, Portugal pada Rabu.

Dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas pertemuan itu, kedua-dua negara menekankan keperluan mendesak bagi persidangan keamanan antarabangsa untuk mencari penyelesaian dua negara di Timur Tengah.

Sepanyol dan Portugal menekankan bahawa penyelesaian dua negara adalah satu-satunya penyelesaian kepada isu berkenaan dan menggesa tindakan "konkrit dan tidak boleh diubah" diambil ke arah mencapai matlamat itu.

Mereka juga mengulangi kebimbangan terhadap serangan Israel di Lubnan dan terhadap misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dikenali sebagai UNIFIL (Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan).

Israel memperhebat kempen pengeboman besar-besaran di seluruh Lubnan yang didakwa menyasarkan Hizbullah sejak 23 Sept, menyebabkan lebih 1,500 orang terbunuh, manakala lebih 4,500 cedera dan lebih 1 juta orang hilang tempat tinggal.

-- BERNAMA-ANADOLU

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan