DUNIA > BERITA

LEBIH 150 RAKYAT PALESTIN TERBUNUH ATAU CEDERA SERANGAN UDARA ISRAEL DI JABALIA, UTARA GAZA

25/10/2024 09:48 AM

BANDARAYA GAZA, 25 Okt (Bernama-Anadolu) -- Lebih 150 rakyat Palestin terbunuh atau cedera petang Khamis, dalam serangan udara Israel yang menyasarkan kira-kira 10 rumah di Jabalia, utara Gaza, yang pengepungan bermula 20 hari lepas, lapor Agensi Anadolu.

“Pembunuhan beramai-ramai yang mengerikan sedang berlaku di Jabalia, dengan lebih 150 syahid dan cedera akibat tembakan Israel. Tiada siapa yang bergerak untuk menyelamatkan mereka,” kata perkhidmatan pertahanan awam Gaza dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu menambah bahawa tentera Israel menyasarkan rumah milik keluarga Najjar, Abu Al-Ouf, Salman, Hijazi, Abu Al-Qumsan, Aqel Abu Rashid, Abu Al-Tarabish, Zaqoul, dan Shaalan.

“Pasukan pendudukan (Israel) mengebom seluruh blok kediaman di kawasan itu, dan penduduk menyeru bantuan untuk mengangkut mangsa yang cedera sehingga kini,” menurut kenyataan itu.

“Penduduk menghadapi kesulitan besar untuk mengeluarkan mayat dan mangsa yang cedera selepas tentera Israel mengganggu operasi pertahanan awam dan perkhidmatan perubatan di bahagian utara Gaza.”

Tentera Israel membuat kepungan di utara kira-kira tiga minggu lepas, menyerang dari udara dan darat, mengepung hospital dan tempat perlindungan pelarian serta mengarahkan penduduk menuju ke selatan. Hospital di kawasan itu sama ada telah berhenti menyediakan perkhidmatan perubatan atau beroperasi dengan amat terhad kerana serangan itu.

Jumlah keseluruhan korban akibat serangan Israel di Semenanjung Gaza sejak Oktober lepas kini menghampiri 43,000 orang.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan