DUNIA > BERITA

DUTA TURKIYE KE PBB UMUM SURAT BERSAMA GESA SEKATAN SENJATA KE ATAS ISRAEL

30/10/2024 10:25 PM

NEW YORK, 30 Okt (Bernama-Anadolu) -- Wakil tetap Turkiye ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Ahmet Yildiz mengumumkan pada Selasa bahawa Turkiye, bersama-sama dengan gabungan negara utama telah mengeluarkan surat bersama yang menggesa supaya pemindahan senjata ke Israel dihentikan, lapor Agensi Anadolu (AA).

Berucap dalam perbahasan terbuka mengenai “Situasi di Timur Tengah, termasuk persoalan Palestin,” Yildiz menekankan bahawa Israel telah mendorong rantau itu ke ambang perang besar-besaran dengan jenayah perang yang belum pernah berlaku sebelum ini.

"Kami membuat seruan kolektif ini untuk mengambil langkah segera bagi menghentikan penyediaan atau pemindahan senjata, peluru dan peralatan berkaitan kepada Israel dalam semua kes di mana terdapat alasan munasabah untuk mengesyaki bahawa ia mungkin digunakan di Wilayah Palestin yang Diduduki, termasuk Baitulmuqaddis Timur, seperti yang dinyatakan dalam Resolusi Perhimpunan Agung ES-10/24 pada 18 Sept 2022.

"Langkah ini penting untuk menamatkan pendudukan haram Israel, menghalang pelanggaran selanjutnya terhadap orang awam di Gaza dan seluruh Wilayah Palestin yang Diduduki serta di Lubnan dan mencegah peningkatan ketegangan serantau," katanya.

Menggesa semua negara agar kekal berada di "sisi sejarah yang benar" dan menyertai inisiatif kolektif, Yildiz menekankan bahawa "pertumpahan darah mesti dihentikan."

Menurut beliau, Turkiye mengecam tindakan Knesset Israel yang meluluskan undang-undang untuk melarang Agensi Bantuan dan Kerja  Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin daripada beroperasi di Israel.

"Rang undang-undang ini menyasarkan agensi itu dan pelarian Palestin dengan menghentikan perkhidmatan menyelamatkan nyawa UNRWA. Sasaran utama ialah status pelarian itu sendiri. Perundangan ini jelas merupakan pelanggaran terhadap kewajipan Israel di bawah undang-undang antarabangsa," katanya.

Yildiz turut mengecam serangan Israel ke atas P Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan (UNIFIL) sambil menambah bahawa adalah "penting bagi agensi itu melaksanakan mandatnya."

Beliau menyatakan bahawa tindakan Israel turut meningkatkan ketegangan dengan Lubnan, Syria dan Iran, serta menggesa Majlis Keselamatan PBB (UNSC) supaya "menggunakan semua alat mengikut budi bicaranya" dan menuntut gencatan senjata segera, penghantaran bantuan kemanusiaan tanpa halangan dan pematuhan kepada undang-undang antarabangsa serta untuk memastikan pematuhan.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan