DUNIA > BERITA

KEKEJAMAN TERHADAP RAKYAT PALESTIN ADALAH ‘PENGHINAAN TERHADAP KEMANUSIAAN' – KETUA PENASIHAT BANGLADESH

26/11/2024 06:12 PM

Oleh Shakir Husain

NEW DELHI, 26 Nov (Bernama) -- Bangladesh pada Selasa mengecam kempen genosid Israel yang berterusan di wilayah Palestin yang diduduki sebagai satu serangan terhadap kemanusiaan.

Dalam perutusan sempena Hari Solidariti Antarabangsa Bersama Rakyat Palestin, Ketua Penasihat Kerajaan Sementara Bangladesh Muhammad Yunus berkata bahawa Israel telah membunuh ramai wanita dan kanak-kanak yang tidak bersalah.

"Tragedi yang berterusan adalah satu penghinaan yang mendalam terhadap kemanusiaan secara keseluruhan.

“Rakyat Palestin bukanlah golongan yang boleh dikorbankan dan mereka yang bertanggungjawab atas kekejaman ini mesti bertanggungjawab.

"Bangladesh dengan tegas percaya bahawa pendudukan haram di tanah Palestin mesti dihentikan, memberi peluang kepada rakyat Palestin untuk menikmati hak mereka untuk sebuah negara yang merdeka," kata Yunus.

Tarikh 29 Nov disambut sebagai Hari Solidariti Palestin sejak 1978 sebagai memperingati resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang membahagikan Palestin kepada negara Yahudi dan Arab pada 1947.

Penubuhan Israel pada 1948 memperburuk lagi pengusiran rakyat Palestin apabila militan Yahudi melancarkan kempen keganasan yang lebih luas terhadap penduduk Arab Palestin.

Dianggarkan seramai 750,000 rakyat Palestin daripada 1.9 juta menjadi pelarian antara 1947 dan 1949 dalam proses pembersihan etnik yang dikenali sebagai Nakba (malapetaka).

Kemusnahan Gaza yang berterusan dilihat sebagai kekejaman yang lebih nyata untuk mengusir penduduk Gaza dan membina penempatan haram, satu projek penjajahan yang disokong kuat oleh masyarakat Yahudi Amerika dan lobi politik Yahudi di Washington.

Hampir keseluruhan populasi 2.3 juta di Gaza hilang tempat tinggal akibat pengeboman berterusan Israel.

Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) baru-baru ini mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan, Yoav Gallant atas dakwaan jenayah terhadap kemanusiaan dan jenayah perang.

Dalam pendapat yang dikeluarkan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa pada 19 Julai lalu mengisytiharkan bahawa pendudukan Israel terhadap wilayah Palestin adalah tidak sah dan melanggar undang-undang antarabangsa.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan