WASHINGTON, 27 Dis (Bernama-AA) -- Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres menyuarakan kebimbangannya terhadap pergolakan di Mozambique susulan keputusan pilihan raya baru-baru ini, menurut jurucakap bersekutunya seperti dilaporkan Agensi Anadolu pada Khamis.
"Setiausaha Agung bimbang terhadap keganasan selepas pilihan raya yang mengakibatkan kehilangan nyawa serta kemusnahan harta awam dan persendirian," kata Stephanie Tremblay kepada pemberita.
Guterres terus memantau perkembangan dengan rapat dan menyeru semua pemimpin politik serta pihak berkepentingan untuk meredakan ketegangan, katanya.
"Beliau menggesa mereka untuk mencari penyelesaian secara damai melalui dialog yang bermakna dan tindakan undang-undang, menghindari penggunaan kekerasan serta memperhebatkan usaha ke arah penyelesaian konstruktif. Ini penting demi masa depan bersama rakyat Mozambique," kata Tremblay.
Protes ganas melanda negara itu sejak pilihan raya presiden diadakan pada 9 Okt, mengorbankan 248 nyawa termasuk 33 orang dalam insiden di penjara pada Rabu, menurut Plataforma Decide, sebuah kumpulan pemantau pilihan raya.
Lebih 1,500 banduan melarikan diri dari Penjara Pusat Maputo di Matola, kira-kira 15 kilometer dari ibu negara Maputo, di mana pihak polis melaporkan kematian.
Protes bermula pada penghujung Oktober selepas Daniel Chapo dari parti pemerintah, Mozambique Liberation Front (Frelimo) diisytiharkan sebagai pemenang pilihan raya presiden, mengalahkan ketua pembangkang utama, Venancio Mondlane.
Mondlane menolak keputusan pilihan raya itu, mendakwa berlaku penipuan undi secara besar-besaran dan menyeru para penyokongnya untuk turun ke jalanan.
Beliau turut berikrar untuk melantik dirinya sebagai presiden pada 15 Jan 2025.
-- BERNAMA-AA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial