BANGKOK, 31 Dis (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mempamerkan kebijaksanaan politiknya dengan melantik bekas Perdana Menteri Thailand Thaksin Shinawatra dalam pasukan penasihatnya mengenai ASEAN, menurut seorang wartawan veteran Thailand yang pakar dalam hal ehwal serantau.
Dalam artikel pendapat yang diterbitkan dalam Bangkok Post baru-baru ini, Kavi Chongkittavorn menyifatkan langkah itu sebagai “mencerminkan pemahaman Anwar terhadap ciri-ciri dan dinamik serantau, di mana bekas pemimpin dan tokoh berpengaruh mampu memberikan perspektif yang luas terhadap landskap serantau yang pelbagai.”
Beberapa nama penting seperti bekas Menteri Luar Singapura George Yeo dan Indonesia, Retno Marsudi, turut dilaporkan sebagai calon berpotensi menganggotai pasukan itu, katanya.
Media Thailand juga percaya bekas Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen mungkin turut disenaraikan.
Menurut artikel berjudul “Malaysia’s ASEAN Chair with a Twist”, Kavi berkata dalam penulisannya bahawa langkah strategik itu dilihat tepat pada masa memandangkan Malaysia bakal mengambil alih kepengerusian ASEAN bermula Januari 2025.
“Jika Anwar mengesahkan nama-nama ini sebagai sebahagian daripada pasukannya, Malaysia berpotensi meraih kepercayaan Beijing, terutama ketika blok ini cuba merangka hala tuju diplomatiknya dalam beberapa bulan mendatang.
“Sebagai satu daripada pihak dalam pertikaian Laut China Selatan, Malaysia telah menunjukkan pendekatan inovatif dalam menguruskan hubungan dengan China secara individu dan kolektif bersama ASEAN,” katanya.
Kavi berpendapat, Malaysia mahu memastikan peranan kepimpinannya dalam ASEAN, organisasi yang turut diasaskannya terus relevan dan berkecuali.
Namun, wartawan veteran itu percaya pelbagai cabaran menanti.
Antara lain, dalam tempoh beberapa minggu akan datang, ASEAN akan menyaksikan perubahan ketara dalam geopolitik global, apabila Presiden terpilih Donald Trump membentuk hubungan antarabangsa Amerika Syarikat, katanya.
“Anwar mengiktiraf realiti ini dan mesti mengimbangi hubungan Malaysia dan ASEAN dengan kedua-dua kuasa besar dan negara-negara serantau,” kata Kavi.
Di peringkat peribadi, hubungan mesra Anwar dengan pemimpin Thailand itu serta kefahamannya tentang landskap politik negara jiran itu turut diberi perhatian.
Langkah melantik Thaksin, walaupun dengan kontroversinya, menunjukkan penghormatan Anwar terhadap Thaksin.
“Ia sememangnya membantu menjadikan lawatan anak perempuannya Perdana Menteri Paetongtarn Shinawatra minggu lalu (16 Dis) ke Malaysia menjadi lebih bermakna,” kata Kavi.
Namun, beliau menjelaskan bahawa isu pemberontakan di selatan Thailand memerlukan perhatian serius kerana ia melibatkan kepentingan bersama kedua-dua negara.
Kavi percaya, jika Anwar berjaya menangani isu-isu ini sepanjang memegang jawatan sebagai Pengerusi ASEAN, beliau akan dikenang sebagai pemimpin legenda di rantau ini.
“Sebarang usaha yang ketara untuk mempromosikan keamanan, perdamaian nasional, keharmonian kaum dan kebebasan bersuara mampu menarik pencalonan untuk anugerah berprestij termasuk Hadiah Keamanan Nobel,” katanya.
Daripada segi hubungan dua hala, Kavi melihat kerjasama lebih erat antara Bangkok dan Kuala Lumpur mampu memberikan dividen politik yang ketara.
Tambahan pula, Kavi berpendapat bahawa Anwar berminat untuk meningkatkan profil Malaysia dan peranannya di pentas global.
“Sekarang adalah masa untuk Anwar bertindak dan meningkatkan kepentingan Malaysia dan ASEAN. Beliau telah menunjukkan kesungguhannya untuk memimpin blok itu di semua bidang yang pelbagai,” tulis Kavi.
Selain sidang kemuncak utama berkaitan ASEAN, Kavi berkata Anwar telah pun mengatur sidang kemuncak tiga pihak antara blok itu, Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan China.
Pemimpin ASEAN-GCC mengadakan sidang kemuncak pertama mereka di Arab Saudi pada 2023.
“Sidang kemuncak pada Mei akan datang mampu meningkatkan lagi profil beliau dan ASEAN mengenai landskap geopolitik yang lebih luas,” katanya.
Kavi menekankan bahawa kepimpinan Anwar semasa kepengerusian ASEAN memberi peluang untuk membentuk semula dinamik serantau dan menegaskan pengaruh Kuala Lumpur, dengan sokongan pasukan penasihatnya.
“Beliau berada dalam kedudukan yang baik untuk menghadapi cabaran ini; namun, kejayaan bergantung pada menangani isu domestik seperti mengekalkan pertumbuhan ekonomi, mengendalikan politik identiti, menyelesaikan krisis Rohingya dan memupuk hubungan yang lebih erat dengan negara jiran seperti Thailand, Singapura dan Indonesia.
“Sekiranya Anwar berjaya memanfaatkan peluang ini, beliau berpotensi mengangkat Malaysia ke tahap lebih tinggi dalam ASEAN dan meninggalkan legasi sebagai pemimpin transformasi di pentas global,” katanya.
Baca artikel penuh di https://www.bangkokpost.com/opinion/opinion/2925877/malaysias-asean-chair-with-a-twist.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial