DUNIA > BERITA

MALAYSIA AMBIL ALIH KEPENGERUSIAN ASEAN, SASAR PERKUKUH KERJASAMA SERANTAU

01/01/2025 12:22 AM

Oleh Voon Miaw Ping

KUALA LUMPUR, 1 Jan (Bernama) -- Malaysia melangkah ke tahun 2025 dengan penuh keyakinan apabila secara rasmi mengambil alih Kepengerusian ASEAN, menyediakan pentas kepada pelbagai acara antarabangsa yang bertujuan memperkukuh hubungan diplomatik pelbagai hala, meningkatkan kerjasama serantau, dan membentuk landskap geopolitik global yang lebih meluas.

Menyandang kerusi pengerusi buat kali kelima sejak penubuhan ASEAN pada 1967, Malaysia bertekad memacu kumpulan serantau ini ke arah keamanan, kestabilan, dan kemakmuran bersama, meskipun berdepan perubahan global yang dinamik.

Dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”, Malaysia akan menganjurkan lebih 300 mesyuarat dan program utama di seluruh negara sepanjang tahun.

Sebagai tuan rumah, Malaysia juga akan melaksanakan pelbagai inisiatif, khususnya dalam bidang kecerdasan buatan (AI), tenaga boleh diperbaharui, pelancongan, dan penjagaan kesihatan.

Program-program ini sejajar dengan tiga tonggak utama ASEAN - Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC), Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN (APSC), dan Komuniti Sosiobudaya ASEAN (ASCC). Ia turut mencerminkan aspirasi Malaysia untuk sebuah ASEAN yang bersatu, makmur, dan progresif, sekali gus memperkukuh kedudukan rantau ini sebagai kuasa ekonomi yang sedang meningkat dan pemain global yang dinamik.

Sebagai sebahagian daripada visi 2025, Malaysia akan memimpin usaha ASEAN dalam mengguna pakai Visi Komuniti ASEAN 2045, yang merangka masa depan bersama untuk dua dekad akan datang.

Di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, ASEAN 2025 bakal menyaksikan pelancaran beberapa inisiatif baharu, menyuntik semangat baharu kepada kumpulan serantau yang berusia 57 tahun ini.

Antaranya ialah Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) Campur China yang julung kali akan diadakan pada Mei.

Mesyuarat peringkat tinggi itu, hasil inisiatif perdana menteri, dijangka membuka jalan kepada kerjasama lebih erat antara rantau Asia Tenggara, negara-negara Teluk, dan ekonomi kedua terbesar dunia dalam pelbagai sektor.

Sidang kemuncak ini juga signifikan kerana ASEAN, negara-negara Teluk, dan China semakin mendapat perhatian sebagai pemimpin geopolitik dan ekonomi yang berpengaruh di arena antarabangsa.

Anwar turut mengumumkan pelantikan bekas Perdana Menteri Thailand Thaksin Shinawatra sebagai penasihat tidak rasmi kepada Pengerusi ASEAN.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata pelantikan Thaksin, seorang tokoh politik yang berpengaruh, merupakan jambatan untuk memperkukuh kerjasama antara rantau ini dengan kuasa-kuasa besar dunia.

"Thaksin dan tokoh lain yang berprofil tinggi adalah rakan lama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dapat memberikan pandangan mereka tentang bagaimana ASEAN boleh terus maju," katanya baru-baru ini.

Harapan tinggi turut disandarkan agar Timor-Leste akhirnya diterima sebagai anggota penuh ASEAN di bawah kepimpinan Malaysia.

Masyarakat antarabangsa juga akan memerhati pendekatan Malaysia dalam menangani krisis politik yang berpanjangan di Myanmar.

Dengan rekod cemerlang sebagai perantara damai, terutamanya di Mindanao, selatan Filipina dan selatan Thailand, Kepengerusian Malaysia dilihat sebagai peluang penting untuk memimpin ASEAN dalam mencari penyelesaian yang mengutamakan diplomasi, penyelesaian kolektif, dan kestabilan serantau.

Sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025, Malaysia turut berpeluang memperjuangkan suara Negara-Negara Selatan Global di forum antarabangsa, memastikan keprihatinan negara membangun diberi perhatian dan ditangani.

Malaysia sebelum ini telah mempengerusikan ASEAN pada 1977, 1997, 2005, dan 2015.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan