DUNIA > BERITA

PEMIMPIN ASEAN SAMBUT 2025 DENGAN OPTIMISME, PERPADUAN & ASPIRASI KEMAKMURAN SERANTAU

01/01/2025 05:58 PM

Oleh Rohani Mohd Ibrahim

KUALA LUMPUR, 1 Jan (Bernama) -- Pemimpin di seluruh negara anggota ASEAN mengucapkan selamat Tahun Baharu 2025, menggesa rakyat untuk mengamalkan keyakinan dan perpaduan sambil mengulangi komitmen terhadap kemajuan serantau dan kerjasama global.

Mulai hari ini, Malaysia secara rasmi memegang jawatan Pengerusi ASEAN, yang terdiri daripada 10 negara anggota, di bawah tema "Inklusiviti dan Kelestarian".

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan Tahun Baharu 2025 yang disiarkan di televisyen tempatan pada Selasa, berkata tanggungjawab besar menanti Malaysia pada 2025 kerana ia mengambil peranan menerajui rantau Asia Tenggara sebagai Pengerusi ASEAN.

Perdana Menteri menyatakan bahawa kerumitan landskap global semasa memerlukan ASEAN untuk merangka peranan dan hala tuju baharu.

"Ini adalah tanggungjawab besar bagi Malaysia, untuk menggerakkan semua kekuatan dan seluruh pasukannya sebagai satu kuasa yang bersatu dan memastikan pembangunan ini kekal mampan," katanya.

 

Di BANDAR SERI BEGAWAN, Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah dalam titah baginda mendoakan semoga tahun baharu akan lebih mendorong semua pihak untuk sama-sama menggalas amanah dengan penuh dedikasi dan komitmen demi mencapai perubahan lebih bermakna bagi diri sendiri, keluarga, masyarakat dan negara.

Di arena antarabangsa, Baginda bertitah Brunei akan tetap berpegang kepada dasar luarnya yang menekankan keseimbangan dalam menimbangkan kepentingan serantau dan pembangunan ekonomi.

“Keahlian dan penglibatan aktif negara (Brunei) dalam pertubuhan serantau dan antarabangsa seperti ASEAN dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), adalah mencerminkan komitmen dan sokongan berterusan kita terhadap kerjasama multilateralisme dan menanai perundangan antarabangsa,” titah Baginda yang dimuat naik di laman web Jabatan Perdana Menteri Brunei Darussalam.

Di JAKARTA, Presiden Prabowo Subianto mengajak masyarakat menyambut Tahun Baharu 2025 dengan perasaan gembira dan optimis serta percaya bahwa Indonesia akan bangkit.

"Untuk seluruh saudara-saudaraku sebangsa dan setanah air selamat menghadapi tahun baru. Kita hadapi tahun baru dengan gembira, optimis, percaya diri bahwa Indonesia akan bangkit," Prabowo dipetik sebagai berkata oleh agensi berita  ANTARA.

Sementara itu catatan di laman web Presiden Republik Indonesia, https://www.presidenri.go.id pada 25 Disember turut memuatkan ucapan tahun baharu Prabowo. 

“Saya juga mengucapkan Selamat Tahun Baru 2025. Semoga tahun baru membawa perdamaian, kebaikan dan berkah bagi kita semua,” kata Presiden itu.

Di SINGAPURA, Perdana Menteri Lawrence Wong berkata beliau akan menggariskan langkah seterusnya pelaksanaan Forward Singapore dalam Belanjawan 2025, yang akan dibentangkan di Parlimen pada 18 Feb.

Beliau berkata antara lain, kerajaan menyasarkan untuk mempertajam daya saing ekonomi Singapura, mewujudkan peluang menarik dan pekerjaan yang baik untuk rakyat Singapura dan terus mengurangkan kesan kos sara hidup.

Wong menekankan bahawa 2025 juga menandakan ulang tahun ke-60 kemerdekaan Singapura.

Beliau berkata walaupun ini adalah kesempatan untuk meraikannya, pencapaian itu, sebenarnya, adalah masa untuk merenung nilai-nilai bersama rakyat Singapura, siapa mereka dan apa yang mereka perjuangkan.

Di BANGKOK, Perdana Menteri Paetongtarn Shinawatra menyampaikan ucapan Tahun Baharu yang tulus kepada negara, mengharapkan kebahagiaan, kemakmuran dan masa depan yang lebih cerah untuk semua rakyat Thailand.

Dalam mesej Tahun Baharu yang menandakan permulaan 2025, Perdana Menteri menegaskan bahawa kerajaan akan berusaha tanpa henti untuk memperbaiki kualiti hidup semua rakyat.

"Saya berdoa agar Triple Gem dan segala yang suci di alam semesta akan memberi inspirasi kepada anda dan keluarga anda untuk merasai hanya kebahagiaan dan kemakmuran.

"Semoga tahun ini menjadi tahun peluang, harapan dan impian untuk semua rakyat Thai. Kerajaan akan berusaha keras untuk meningkatkan kualiti hidup untuk semua saudara-saudara kita," katanya di akaun rasmi X beliau pada 

Di VIENTIANE, Presiden Thongloun Sisoulith melahirkan rasa terima kasih kepada rakyat Laos untuk sumbangan mereka dan kepada rakan antarabangsa atas sokongan dan kerjasama mereka.

“Membayangkan dunia bersatu dalam keamanan dan keharmonian. (Dan) masa depan yang makmur dan aman untuk Laos dan komuniti global,” presiden dipetik oleh Vientiane Times.

Laos memegang Pengerusi ASEAN pada 2024 di bawah tema "ASEAN: Meningkatkan Ketersambungan dan Ketahanan" yang memfokuskan kepada empat keutamaan Ketersambungan ekonomi, Kemampanan; Transformasi digital serta Budaya dan seni.

Di PHNOM PENH, Perdana Menteri Kemboja Hun Manet di Facebooknya mendoakan rakyat menikmati kesihatan, keamanan, kebahagiaan dan kejayaan yang baik pada 2025.

“Saya dan keluarga saya mendoakan kesihatan, keamanan, kebahagiaan dan kejayaan kepada semua warga negara kita dalam segala hal. Kami ingin mengucapkan Selamat Tahun Baharu 2025 kepada semua,” dalam hantarannya di Facebook.

Di HANOI, Presiden Luong Cuong menyampaikan ucapan selamat kepada semua warga Vietnam dan rakan antarabangsa untuk Tahun Baharu.

“Sempena Tahun Baharu 2025, dengan kepercayaan dan semangat baharu, saya ingin menyampaikan ucapan selamat kepada setiap warga Vietnam dan rakan antarabangsa - Tahun Baharu, Kemenangan Baharu!,” katanya seperti yang dipetik oleh Agensi Berita Vietnam.

Di MYANMAR, ketua tentera Jeneral Kanan Min Aung Hliang berharap rakyatnya memupuk kebaikan bersama dan bekerjasama demi kepentingan negara dan rakyat.

“Saya berharap semua saudara senegara saya di Myanmar untuk memupuk kebaikan bersama dan bekerjasama untuk manfaat negara dan rakyat kita. Mengucapkan Selamat Tahun Baharu kepada anda semua!,” katanya seperti yang dipetik oleh The Global New Light of Myanmar.

Di MANILA, Presiden Ferdinand R. Marcos Jr pada Rabu mengajak rakyat Filipina untuk mengamalkan pemikiran yang introspektif dan berfokuskan pertumbuhan semasa mereka menyambut tahun baharu.

Beliau merujuk acara itu sebagai peluang "untuk belajar daripada pengajaran masa lalu dan menggunakan kebijaksanaan yang diperoleh untuk memperbaiki diri."

“Adalah menjadi hasrat kita agar rakyat mengamalkan pandangan ini dan mengadopsi pemikiran yang introspektif dan berfokus pada pertumbuhan yang mengimbangi realiti masa lalu dan janji masa depan,” katanya dalam mesej yang disiarkan di laman web Pejabat Presiden Filipina.

ASEAN, yang diasaskan pada 8 Ogos 1967, terdiri daripada 10 negara Asia Tenggara: Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan