PUTRAJAYA, 13 Feb (Bernama) -- Malaysia dan Cuba menegaskan komitmen untuk memperkukuh hubungan dua hala serta memperluaskan kerjasama dalam pelbagai bidang sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik yang terjalin sejak 6 Feb 1975.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Cuba, Bruno Eduardo Rodriguez Parrilla pada Khamis, dengan perbincangan tertumpu kepada usaha meningkatkan kerjasama dalam perdagangan, penjagaan kesihatan, pendidikan dan pelancongan, menurut Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan.
Mesyuarat itu menekankan kepentingan untuk memperkukuh penglibatan ekonomi dan mempelbagaikan perdagangan dua hala antara kedua-dua negara.
"Malaysia mengiktiraf Cuba sebagai pasaran penting bagi produk getah dan minyak sawit Malaysia serta melihat potensi kerjasama dalam sektor pemprosesan makanan," menurut kenyataan itu.
Perbincangan itu juga mengesahkan komitmen Malaysia terhadap pembangunan modal insan melalui Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP), yang memperkukuh hubungan antara rakyat serta memudahkan perkongsian pengetahuan dalam bidang pembangunan utama.
"Penyertaan Cuba dalam MTCP terus mencerminkan kerjasama erat antara kedua-dua negara.
"Bersempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik, Malaysia akan menawarkan biasiswa kepada seorang pegawai kerajaan Cuba bagi melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana di Malaysia," menurut Kementerian yang turut dikenali sebagai Wisma Putra.
Perbincangan seterusnya meliputi potensi kerjasama dalam bioperubatan, dengan Malaysia menyatakan minat terhadap kepakaran Cuba dalam bidang itu.
"Kedua-dua pihak membincangkan peluang bagi penyelidikan bersama dan inisiatif pembangunan kapasiti dalam bioperubatan, sejajar dengan kepentingan sektor itu yang semakin berkembang," menurut Wisma Putra.
Mengenai industri halal, Mohamad menekankan sistem pensijilan halal Malaysia yang diiktiraf di peringkat global dan dikawal selia oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), serta menyuarakan kesediaan Malaysia untuk membantu Cuba membangunkan sektor halal negara itu.
Menurut kementerian, Malaysia bersedia berkongsi pengalaman dan kepakaran dalam mengenal pasti bidang kerjasama utama.
Dengan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN pada 2025, Mohamad menegaskan kepentingan memperkukuh hubungan ASEAN-Cuba dan memperluaskan kerjasama diplomatik serta ekonomi.
"Malaysia berharap dapat bekerjasama rapat dengan Cuba dalam rangka kerja ASEAN dan akan terus meneroka peluang bagi memperluaskan kerjasama," menurut kenyataan itu.
Mohamad turut menyuarakan harapan untuk memperkukuh kerjasama dalam BRICS bagi meningkatkan taraf sosio-ekonomi negara-negara Selatan Global.
Bruno kini dalam rangka lawatan rasmi ke Malaysia selama empat hari bermula 12 Feb 2025, menandakan lawatan pertamanya ke Malaysia sejak memegang jawatan pada 2 Mac 2009.
Lawatan sulungnya itu turut merangkumi kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta pertemuan dengan Jawatankuasa Pilihan Khas Hubungan dan Perdagangan Antarabangsa di Parlimen.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial