DUNIA > BERITA

RAKYAT MALAYSIA DINASIHAT ELAK KUNJUNGI PERKAMPUNGAN NELAYAN NARATHIWAT, KAWASAN PANAS DADAH

13/02/2025 09:09 PM

Oleh Kenny Teng Khoon Hock

SONGKHLA, 13 Feb (Bernama) -- Konsulat Malaysia di selatan Thailand menasihatkan rakyat Malaysia untuk mengelakkan daripada melawat Kampong Balik Hilir dan Kampong Pantai di Narathiwat kerana kawasan itu dikenal pasti pihak berkuasa tempatan sebagai kawasan panas narkotik.

Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi berkata polis Thailand mengenal pasti beberapa perkampungan nelayan di Narathiwat yang lazimnya digunakan oleh pengedar dadah sebagai pangkalan operasi.

"Saya menasihatkan pelancong Malaysia untuk tidak melawat perkampungan nelayan Kampong Balik Hilir dan Kampong Pantai buat masa ini, kerana polis Thailand sedang menjalankan operasi secara tetap di kawasan ini untuk menahan mereka yang terbabit," katanya kepada Bernama di sini pada Khamis.

Ahmad Fahmi juga menggesa rakyat Malaysia yang melawat Narathiwat untuk berhati-hati dan mengelakkan perkampungan nelayan itu bagi mengelak daripada kemungkinan menghadapi sebarang masalah.

Perkampungan nelayan ini popular dalam kalangan pelancong Malaysia kerana makanan lautnya.

"Saya berharap pelancong Malaysia yang kerap melancong ke Narathiwat akan terus berwaspada dan mematuhi nasihat ini untuk mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini," katanya.

Awal minggu ini, Ketua Polis Daerah Narathiwat Kolonel Pratya Baite memberi amaran kepada pelancong agar tidak melawat perkampungan nelayan itu yang dikenal pasti sebagai kawasan panas narkotik oleh pihak berkuasa Thailand.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan