Oleh Wan Muhammad Aslah Wan Razali
KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama) -- Malaysia dan Cuba giat memperkukuh hubungan dua hala yang telah lama terjalin dengan meneroka peluang baharu dalam kerjasama ekonomi, khususnya dalam sektor farmaseutikal dan bioteknologi.
Komitmen ini ditekankan dalam pertemuan dua hala antara Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dan rakan sejawatnya dari Cuba, Bruno Eduardo Rodriguez Parrilla.
Mohamad berkata hubungan diplomatik Malaysia dan Cuba boleh diperkukuh menerusi kerjasama dalam sektor farmaseutikal, memandangkan Cuba telah mencapai kemajuan ketara dalam bidang itu, termasuk membangunkan vaksin COVID-19 sendiri serta menjalankan ujian klinikal bagi rawatan diabetes dan penyakit jantung.
“Cuba mempunyai kepakaran dalam bidang farmaseutikal, penyelidikan dan teknologi itu yang penting untuk Malaysia bagi memperkasakan bidang-bidang ini,” katanya kepada Bernama selepas pertemuan dua hala itu pada Khamis.
Seiring usaha Malaysia memperkukuh industri farmaseutikal, Mohamad menekankan kepentingan meneroka kerjasama baharu bagi memastikan akses yang lebih baik serta mampu milik terhadap ubat-ubatan untuk rakyat.
Parrilla berada di Malaysia untuk lawatan rasmi selama empat hari bermula Rabu hingga Sabtu (12-15 Feb). Lawatan ini merupakan yang pertama bagi beliau ke Malaysia sejak menjawat jawatan pada 2 Mac 2009 dan bersempena dengan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan Cuba, yang mula terjalin pada 6 Feb 1975.
Dalam pada itu, kedua-dua menteri turut membincangkan peluang yang timbul susulan pengiktirafan Malaysia dan Cuba sebagai negara rakan dalam kumpulan ekonomi baru muncul, BRICS, yang dianggotai Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan.
Mohamad berkata walaupun Malaysia belum menjadi ahli penuh BRICS, penyertaan sebagai negara rakan membuka ruang kepada jaringan perdagangan yang lebih luas serta kerjasama ekonomi baharu.
“BRICS menawarkan laluan untuk Malaysia mempelbagaikan pasaran dagangan dan mengurangkan kebergantungan kepada rakan dagang tradisional. Berdagang dalam kumpulan ini sahaja sudah memberi akses kepada pasaran luas, termasuk Cuba,” katanya.
Sementara itu, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan agensi berita Cuba, Prensa Latina, menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kolaborasi dalam pertukaran berita dan kerjasama media.
Perjanjian itu yang menandakan penubuhan kerjasama rasmi dimeterai bersempena lawatan rasmi Menteri Luar Cuba ke Malaysia selama empat hari.
Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Duta Cuba ke Malaysia, Florentino Batista-Gonzales, yang mewakili Prensa Latina, menandatangani MoU itu di ibu negara, membuka laluan kepada kerjasama lebih erat antara kedua-dua agensi berita.
Nur-ul Afida berkata perjanjian itu merupakan langkah penting dalam memperkukuh hubungan antara kedua-dua agensi berita serta memperluas capaian Bernama di peringkat antarabangsa.
“Sebelum ini, Prensa Latina menghubungi Bernama untuk menyatakan minat mereka dan mencadangkan kerjasama dalam penyebaran serta pengedaran kandungan media. Kami melihat ini sebagai peluang berharga, lebih-lebih lagi ketika Malaysia dan Cuba meraikan ulang tahun hubungan diplomatik mereka,” katanya.
Beliau menekankan MoU itu adalah hasil perbincangan selama beberapa bulan yang akhirnya dimuktamadkan dengan perjanjian yang berpotensi menggalakkan pertumbuhan bersama dalam perkongsian berita dan pertukaran dalam bidang kewartawanan.
“MoU ini adalah peluang untuk Bernama terus memperkukuh kerjasama media, khususnya dengan Prensa Latina di Cuba,” katanya sambil menzahirkan harapan agar kerjasama ini akan memberikan peluang kepada Bernama untuk mempamerkan kandungannya di pentas antarabangsa, termasuk khalayak di Cuba.
“Saya berharap kerjasama ini melewati pertukaran berita. Pada masa hadapan kami menyasarkan untuk meningkatkan perkongsian ini, termasuk pertukaran atau penempatan wartawan di kedua-dua agensi berita, katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial