DUNIA > BERITA

PM THAILAND IKRAR BANTERAS SINDIKET PENIPUAN PUSAT PANGGILAN

25/02/2025 10:44 PM

Oleh Kenny Teng Khoon Hock

BANGKOK, 25 Feb (Bernama) -- Kerajaan Thailand berikrar untuk membanteras sindiket penipuan pusat panggilan di negara itu dengan kerjasama negara jiran bagi melumpuhkan operasi mereka secara berkesan.  

Perdana Menteri Paetongtarn Shinawatra menyifatkan tindakan keras berterusan terhadap sindiket pusat panggilan sebagai isu kritikal yang memberi kesan kepada orang ramai dan berjanji untuk memperhebat usaha untuk menghapuskan rangkaian mereka.  

"Ini adalah operasi tegas untuk membanteras sindiket pusat panggilan, dan kami tidak akan berhenti sehingga isu ini diselesaikan sepenuhnya," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet di Rumah Kerajaan pada Selasa.  

Perdana Menteri menekankan kepentingan kerjasama antarabangsa dalam memerangi sindiket dan jenayah mereka, sambil menambah bahawa tindakan keras itu melibatkan kerjasama antara Thailand, China, Myanmar dan Kemboja.  

Paetongtarn turut menzahirkan rasa terima kasih atas kerjasama erat negara jiran, sambil menambah bahawa pendekatan Thailand boleh dijadikan model dalam menangani isu serupa.  

Beliau mengakui sifat global penipuan pusat panggilan dan menyatakan bahawa memandangkan operasi itu melangkaui sempadan Thailand, kerajaan memberi keutamaan kepada usaha menangani isu berkenaan di dalam negara serta di negara jiran.  

"Jika tidak, kami tidak tahu dari mana untuk bermula. Mari kita selesaikan isu ini dengan negara jiran sebelum bergerak ke hadapan," katanya sambil menekankan kepentingan kerjasama antarabangsa.  

Perdana Menteri turut mendedahkan bahawa satu jawatankuasa tiga pihak membabitkan Thailand, China dan Myanmar telah ditubuhkan bagi menangani isu itu secara menyeluruh.  

Beliau menyatakan bahawa kawasan sempadan merentasi 14 wilayah telah diperketatkan, membawa kepada banyak tangkapan, dengan kerjasama erat China dan Myanmar.  

Antara tindakan yang diambil pihak berkuasa Thailand ialah merobohkan menara isyarat yang digunakan untuk aktiviti haram di kawasan sempadan.  

Paetongtarn berkata Kementerian Pertahanan juga menyelaraskan dengan negara destinasi bagi memudahkan penghantaran pulang tahanan secara berperingkat, bagi memastikan proses logistik berjalan lancar.  

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan