DUNIA > BERITA

DUTERTE HADIR PERBICARAAN ICC MENERUSI PAUTAN VIDEO

15/03/2025 01:40 PM

LONDON, 15 Mac (Bernama-Anadolu) -- Bekas Presiden Filipina Rodrigo Duterte gagal hadir perbicaraan secara fizikal di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) pada Jumaat atas pertuduhan jenayah terhadap kemanusiaan susulan operasi membanteras dadahnya yang mengorbankan ribuan nyawa.

Anadolu Ajansi melaporkan, pemimpin berusia 79 tahun itu—bekas ketua negara Asia pertama yang berdepan pertuduhan di ICC—mengikuti prosiding menerusi pautan video dari pusat tahanan.

Dalam sesi ringkas itu, Duterte dimaklumkan tentang pertuduhan yang dikenakan serta haknya sebagai defendan.  

Duterte kelihatan lemah, berpakaian sut biru dan bertali leher, serta hanya bercakap untuk mengesahkan identiti dan tarikh lahirnya.  

Peguamnya, Salvador Medialdea mendakwa bahawa Duterte telah “diculik dari negaranya” dan “dibawa ke The Hague tanpa melalui proses undang-undang yang sewajarnya.”

Menurutnya, tindakan itu merupakan “perbuatan luar perundangan” dan bagi orang awam, ia tidak ubah seperti “penculikan.”  

Medialdea turut memaklumkan keadaan kesihatan Duterte yang semakin merosot, dengan menyatakan bahawa selain daripada mengesahkan identiti, anak guamnya “tidak mampu memberikan sebarang sumbangan kepada prosiding ini.”  

Sepanjang perbicaraan, Duterte kelihatan mengantuk dan beberapa kali menutup mata untuk tempoh yang lama.  

Bagaimanapun, Hakim Motoc menegaskan bahawa pemeriksaan perubatan menyatakan Duterte berada dalam keadaan mental yang stabil dan layak mengikuti perbicaraan.  

Mahkamah menetapkan 23 Sept sebagai tarikh bagi peringkat seterusnya, iaitu sesi untuk mengesahkan pertuduhan.  

Duterte berdepan dakwaan “pembunuhan sebagai jenayah terhadap kemanusiaan” berikutan operasi anti-dadah yang dikaitkan dengan ribuan kematian.  

Pertuduhan itu berasaskan kempen kerasnya terhadap pengedar dan penagih dadah yang dikatakan menyebabkan puluhan ribu kehilangan nyawa, menurut kumpulan hak asasi manusia.  

Sara Duterte, anak perempuan bekas presiden itu berlepas ke Belanda untuk memberi sokongan kepada bapanya, yang disifatkan sebagai “satu bentuk penindasan dan penganiayaan.”  

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan