DUNIA > BERITA

KERAJAAN FILIPINA TIDAK AKAN CAMPUR TANGAN DALAM PEMBELAAN DUTERTE DI ICC

15/03/2025 11:33 PM

MANILA, 15 Mac (Bernama-PNA) -- Kerajaan Filipina tidak akan campur tangan apabila kem bekas Presiden Rodrigo Duterte mula membuat persiapan untuk pembelaannya ke atas tuduhan jenayah terhadap kemanusiaan di hadapan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), menurut Malacanang (Istana Presiden) pada Sabtu.

ICC menetapkan pengesahan pendengaran tuduhan pada 23 September untuk membolehkan Duterte dan semua pihak yang terlibat "membuat persiapan yang mencukupi" untuk praperbicaraan, serta untuk mengakui "haknya untuk dibicarakan dalam masa yang munasabah."

"Ini adalah masa apabila beliau benar-benar akan mempersiap pembelaannya. Mungkin jika beliau mempunyai saksi, beliau boleh memanggil mereka, membuat sebarang kenyataan atau afidavit," lapor agensi berita Filipina (PNA) yang memetik Pegawai Akhbar Istana dan Timbalan Setiausaha Pejabat Komunikasi Presiden Claire Castro dalam temu bual dengan dwAR.

Beliau mengulangi yang Kerajaan Filipina memberikan Duterte bantuan yang diperlukan, termasuk perkhidmatan perubatan dan "pakej penjagaan," dari masa beliau ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino di Pasay City pada pagi Selasa sehingga beliau dihantar ke The Hague, Belanda.

Beliau berkata kerajaan tidak akan menanggung perbelanjaan perjalanan saksi kem Duterte.

Castro menegaskan, kem Duterte mampu menghantar pasukan mereka sendiri ke The Hague, kerana beberapa sekutunya, termasuk bekas jurucakap presiden Harry Roque dan Senator Robin Padilla, pergi ke sana menggunakan wang mereka sendiri.

"Saya rasa mereka boleh melakukan itu. Mereka akan menjadi orang yang membuat persiapan untuk itu. Kerajaan tidak akan campur tangan dalam apa-apa yang mereka lakukan dalam persiapan untuk pembelaannya," katanya.

Menurut PNA, Castro berkata kes Duterte tidak dibincangkan pun semasa pertemuan dengan Presiden Ferdinand R. Marcos Jr. pada Jumaat.

Beliau menambah bantuan yang mungkin diberikan oleh Kedutaan Filipina di Belanda kepada Duterte juga mungkin tidak perlu.

Beliau berkata kerajaan akan terus memantau kes itu untuk memastikan orang ramai sentiasa mengetahui perkembangan kes.

"Tetapi sudah tentu, kami masih akan memantau supaya orang ramai sedar tentang apa yang berlaku dalam pendengaran itu," kata Castro.

Castro menasihati orang ramai agar tidak mempercayai penyebar berita palsu yang menyebarkan maklumat palsu selepas penahanan Duterte.

Duterte menghadapi tuduhan di hadapan ICC atas jenayah terhadap kemanusiaan melibatkan pembunuhan 19 orang yang didakwa pesalah dadah antara 2011 dan 2016 ketika beliau masih menjadi Datuk Bandar Davao City.

Beliau juga disyaki bertanggungjawab ke atas pembunuhan 245 suspek dadah lain ketika menjadi presiden, bermula pada 2016 sehinggalah sebelum Filipina menarik diri daripada ICC berkuat kuasa 17 Mac 2018.

-- BERNAMA-PNA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan