SIK, 23 Mac (Bernama) -- Kehadiran beberapa anjing liar di sekitar jalan Charuk Padang-Batu 5 dekat sini sejak kebelakangan ini telah menimbulkan ancaman terhadap keselamatan pengguna di laluan terbabit, dan mula meresahkan penduduk setempat.
Orang ramai di kawasan tersebut mendakwa beberapa kemalangan dilaporkan berlaku apabila anjing-anjing tersebut melintas jalan secara tiba-tiba sehingga menyebabkan penunggang dan pemandu kenderaan tidak sempat mengelak, dan ada juga kenderaan yang terbabas.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sik Lt (Pertahanan Awam) Haisul Aishah Mohd Napiah berkata dalam kejadian petang semalam semasa petugasnya melakukan rondaan Op Ramadan di kawasan itu, mereka telah membantu seorang warga emas yang cedera apabila terjatuh daripada motosikalnya selepas terlanggar seekor anjing.
"Mangsa mengalami kecederaan pada bahagian muka dan kami telah bawa dia ke Hospital Sik untuk mendapatkan rawatan," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Beliau seterusnya mengingatkan pengguna jalan raya di kawasan berkenaan agar sentiasa berhati-hati dan memandu secara berhemah bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini, memandangkan banyak anjing liar dilihat sering dilihat berkeliaran di situ.
Tinjauan Bernama mendapati beberapa ekor anjing dilihat berkeliaran di tepi jalan raya dan sesekali berlari ke atas jalan raya secara tiba-tiba sehingga menyebabkan pemandu terpaksa membrek dengan pantas.
Beberapa penduduk sekitar yang ditemui mendakwa anjing-anjing berkenaan tiada pemilik, dan mereka berharap pihak berkuasa tempatan dapat mengambil tindakan sewajarnya untuk menangkap haiwan tersebut bagi menjaga keselamatan ramai.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial