DUNIA > BERITA

TRUMP BATAL KEBENARAN AKSES KESELAMATAN HARRIS, CLINTON DAN PESAING POLITIK LAIN

22/03/2025 10:35 PM

ISTANBUL, 22 Mac (Bernama-Anadolu) -- Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengarahkan pembatalan kebenaran akses keselamatan beberapa pesaing politik berprofil tinggi, termasuk bekas Naib Presiden Kamala Harris dan bekas Setiausaha Negara Hillary Clinton.

Agensi Anadolu melaporkan Trump, dalam satu memo lewat malam Jumaat, mengarahkan semua agensi persekutuan untuk segera menarik balik akses kepada maklumat sulit bagi lebih sedozen individu.

"Saya telah menentukan bahawa tiada lagi kepentingan negara untuk individu berikut mempunyai akses kepada maklumat sulit," kata Trump dalam arahan berkenaan.

"Saya dengan ini mengarahkan setiap ketua jabatan eksekutif dan agensi untuk mengambil semua tindakan tambahan yang perlu dan selaras dengan undang-undang sedia ada bagi membatalkan sebarang kebenaran akses keselamatan yang masih aktif."

Tindakan terbaru ini susulan keputusan Trump pada Februari untuk membatalkan kebenaran akses keselamatan bekas Presiden Joe Biden dan menghalangnya daripada menerima taklimat perisikan harian.

Pembatalan itu turut menyasarkan bekas Ahli Kongres Wyoming Liz Cheney dan bekas Ahli Kongres Illinois Adam Kinzinger, kedua-duanya ahli Republikan yang berkhidmat dalam jawatankuasa Dewan yang menyiasat serangan 6 Jan, menurut laporan itu.

Pengarah Perisikan Negara Tulsi Gabbard, sebelum ini telah mengesahkan pembatalan kebenaran akses keselamatan bagi pegawai era Biden, termasuk bekas Setiausaha Negara Antony Blinken dan bekas Penasihat Keselamatan Negara Jake Sullivan.

Arahan itu juga terpakai kepada tokoh perundangan seperti Peguam Negara New York Letitia James dan Peguam Daerah Manhattan Alvin Bragg, yang kedua-duanya mengetuai usaha undang-undang terhadap Trump.

Dalam satu memo berasingan, Trump memperluaskan tindakannya dengan menyasarkan firma guaman yang terlibat dalam tuntutan mahkamah terhadap pentadbirannya.

Beliau memberikan tanggungjawab kepada Peguam Negara Pam Bondi untuk mengkaji semula organisasi undang-undang yang, pada pandangannya, terlibat dalam litigasi “tidak berasas” atau menghalang inisiatif dasar utama.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan