DUNIA > BERITA

HAMPIR 15,000 HEKTAR MUSNAH AKIBAT KEBAKARAN HUTAN DI TENGGARA KOREA SELATAN 

25/03/2025 05:50 PM

SEOUL, 25 Mac (Bernama-Yonhap) -- Kebakaran hutan yang melanda kawasan tenggara Korea Selatan sejak beberapa hari lalu memusnahkan 14,694 hektar, mengakibatkan empat kematian serta lebih 3,300 penduduk hilang tempat tinggal, lapor Yonhap memetik kenyataan kerajaan pada Selasa. 

Pemangku Menteri Dalam Negeri, Ko Ki-dong dalam mesyuarat Pusat Tindakan Bencana dan Keselamatan di Seoul berkata usaha memadam kebakaran terjejas akibat angin kencang, cuaca kering dan keadaan yang tidak menentu. 

Kerajaan akan mengerahkan semua sumber yang ada, termasuk 110 helikopter dan 6,700 anggota penyelamat pada Selasa bagi mengawal kebakaran di Sancheong, Hadong dan Gimhae (Wilayah Gyeongsang Selatan), Uiseong (Wilayah Gyeongsang Utara) serta daerah Ulju di Ulsan, katanya. 

Sehingga 7 pagi Selasa, pasukan penyelamat berjaya mengawal sekitar 88 peratus kebakaran di lima wilayah terlibat.

Langkah tambahan juga diambil bagi menghalang api daripada merebak ke kawasan perumahan. 

Pihak berkuasa tempatan turut melaksanakan langkah keselamatan seperti menutup jalan dan memindahkan penduduk lebih awal bagi mengurangkan risiko kerosakan serta korban nyawa. 

Sebanyak 234 kebakaran hutan berlaku di seluruh negara tahun ini, dengan kebanyakannya berpunca daripada kecuaian pengunjung di kawasan pergunungan serta aktiviti pembakaran sisa pertanian dan sampah. 

--BERNAMA-YONHAP


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan