DUNIA > BERITA

TRUMP MUNGKIN KURANGKAN TARIF KE ATAS CHINA BAGI URUSAN PENJUALAN TIKTOK

27/03/2025 04:03 PM

WASHINGTON, 27 Mac (Bernama-dpa) -- Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Rabu mencadangkan beliau mungkin menawarkan China "sedikit pengurangan tarif" sebagai pertukaran untuk kelulusan Beijing terhadap penjualan platform video pendek popular TikTok, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).  

Bercakap kepada wartawan di Pejabat Oval, Trump menyatakan bahawa China "mungkin" perlu memainkan peranan dalam bentuk kelulusan, dan beliau percaya mereka akan berbuat demikian. 

“Mungkin saya akan memberikan mereka sedikit pengurangan tarif atau sesuatu bagi menyelesaikannya," katanya, sambil menambah bahawa "setiap peratusan dalam tarif lebih bernilai berbanding TikTok."  

Di bawah undang-undang AS, syarikat induk TikTok yang berpusat di China, ByteDance dikehendaki melepaskan kepentingannya dalam aplikasi itu sebelum 19 Januari atau berdepan larangan operasi.  

Bagaimanapun, Trump telah memberikan tempoh tangguh selama 75 hari yang akan berakhir pada 5 April. Beliau kini menyatakan bahawa tarikh akhir itu boleh dilanjutkan, walaupun tiada asas undang-undang bagi langkah sedemikian.  

Naib Presiden AS, JD Vance, baru-baru ini menyatakan keyakinan bahawa penyelesaian mengenai masa depan TikTok di AS akan dicapai menjelang awal April.  

ByteDance dan TikTok sebelum ini menegaskan bahawa menjual hanya bahagian aplikasi itu di AS akan menjejaskan fungsinya secara keseluruhan.  

“Terdapat banyak cara anda boleh membeli TikTok, dan kami akan mencari penyelesaian terbaik untuk negara ini,” kata Trump.  

-- BERNAMA-dpa



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan