Oleh Norsyafawati Ab Wahab
KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) -- Forum Media dan Kumpulan Pemikir ASEAN-China yang julung kali diadakan bakal berlangsung di sini, Jumaat ini, menghimpunkan 200 pegawai kerajaan, pemimpin media berpengaruh dan pakar dari seluruh rantau ASEAN dan China bagi memperkukuh hubungan dan menggalakkan kerjasama lebih erat.
Dianjurkan bersama oleh Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Agensi Berita Xinhua di bawah tema "Mengukuhkan Kerjasama ASEAN-China", acara sehari itu bertujuan untuk memudahkan perbincangan mendalam mengenai pelbagai topik penting kepada ASEAN dan dunia secara amnya.
Topik utama termasuk "Menggalakkan Pertukaran Tamadun, Menetapkan Contoh untuk Selatan Global," "Meningkatkan Kerjasama Laluan Sutera Maritim, Merangka Hala Tuju Baharu untuk Pembangunan Aman," dan "Memanfaatkan Revolusi AI, Merebut Peluang Luar Biasa."
Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin melahirkan penghargaan atas peluang menjadi tuan rumah bersama forum itu dengan Xinhua.
"Bagi pihak Bernama, saya berasa berbesar hati menerima pelawaan daripada Xinhua untuk bersama-sama menganjurkan forum sehari ini yang juga diadakan bersempena dengan lawatan negara Presiden China Xi Jinping ke Malaysia pada minggu hadapan,” katanya.
"Saya melihat ia adalah antara usaha untuk memperluaskan jaringan kerjasama dengan Xinhua sepertimana terkandung dalam pembaharuan perjanjian bersama kedua-dua agensi pada akhir 2023," kata beliau.
Bernama dan Xinhua memulakan kerjasama dalam pertukaran berita dengan termeterainya memorandum perjanjian (MoA) pada 14 Dis 1985.
Pada 18 Dis 2023, kedua-dua agensi memperbaharui perjanjian itu di Kuala Lumpur sekali gus mengukuhkan lagi kerjasama selama beberapa dekad yang melangkaui pertukaran berita.
Acara ini merupakan kali pertama kedua-dua agensi bekerjasama menganjurkan program media bertaraf antarabangsa.
Nur-ul Afida berkata forum berkenaan akan memberi peluang kepada syarikat dan agensi media di Malaysia dan China selain kumpulan pemikir dari kedua-dua negara serta ASEAN untuk bertukar pendapat dan saranan menerusi pembentangan masing-masing.
"(Menerusi forum ini) negara anggota ASEAN juga boleh turut sama mengadakan perbincangan lebih lanjut bersama rakan strategik masing-masing dari China," katanya.
Beliau berkata penganjuran forum ini juga amat signifikan kerana Malaysia mempengerusikan ASEAN pada tahun ini dan turut bertindak sebagai penyelaras negara bagi Hubungan Dialog ASEAN-China untuk tempoh 2024-2027.
Forum itu turut menampilkan sesi perbincangan serta majlis makan malam jaringan pada sebelah malam.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dijadualkan merasmikan forum berkenaan.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa akan turut hadir.
Ketua Pengarang Agensi Berita Xinhua Lyu Yansong dan pegawai kanan agensi itu juga dijangka menghadiri majlis tersebut.
Antara panel penceramah yang akan menyertai sesi forum termasuk Pengerusi Bernama Datuk Seri Wong Chun Wai, Timbalan Pengarah Institut Xinhua Agensi Berita Xinhua Zhu Zhibin, Pengarah Eksekutif Kajian Perkongsian Indonesia China Veronika S. Saraswati, Timbalan Ketua Pengarah Agensi Berita Laos Sivanxay Siphankham dan Naib Pengerusi Majlis Akhbar Myanmar Khin Maung Zaw.
Nur-ul Afida berkata selain meningkatkan hubungan diplomatik antara negara-negara ASEAN dan China, forum itu juga menjadi medan bagi media rantau ini dan China untuk berkongsi amalan terbaik dan teknologi baharu dalam industri media.
"Ini termasuk aspek seperti kecerdasan buatan dalam media, analitik data serta automasi dalam penghasilan berita.
"Selain itu, media juga boleh berbincang tentang usaha memperkukuh ketelusan maklumat dan membanteras penyebaran berita palsu di rantau ini," kata beliau sambil berharap forum itu boleh membawa hasil yang positif untuk semua pihak yang terlibat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial