DUNIA > BERITA

MYANMAR RAKAM PENGHARGAAN KEPADA ASEAN ATAS BANTUAN GEMPA, HARAP SOKONGAN GLOBAL BERTERUSAN

11/04/2025 09:59 PM

Oleh Ahmad Erwan Othman

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Solidariti dan bantuan kemanusiaan pantas ASEAN memainkan peranan penting dalam menyokong usaha pemulihan Myanmar susulan gempa bumi dahsyat yang melanda negara itu pada 28 Mac lepas, kata Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Media di bawah Kementerian Penerangan Myanmar, Dr Thida Tin.

Beliau merakamkan penghargaan rakyat Myanmar kepada negara anggota ASEAN atas tindakan pantas dan sokongan yang tidak ternilai.

“Kerajaan kami dan organisasi sosial bekerjasama bagi memastikan proses pemulihan daripada bencana alam ini dapat dijalankan secepat mungkin dengan bantuan antarabangsa yang tersedia. Saya yakin bantuan yang diberikan mencerminkan semangat kekeluargaan sejati di rantau ini serta nilai peradaban yang kita kongsi bersama,” katanya ketika sesi pleno Forum Media dan Kumpulan Pemikir ASEAN-China di sini, hari ini.

Forum itu dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, dengan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dan Ketua Pengarang Agensi Berita Xinhua, Lyu Yansong, antara yang hadir.

Turut hadir, Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Pengerusi Bernama Datuk Seri Wong Chun Wai, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj.

Forum anjuran bersama Bernama dan Agensi Berita Xinhua bertemakan "Memperkukuh Kerjasama ASEAN-China" itu menghimpunkan lebih 200 peserta termasuk pemimpin media berpengaruh, wakil-wakil, pegawai kanan kerajaan dan pakar dari rantau ASEAN dan China bagi memperkukuh jalinan kerjasama dalam landskap media yang sentiasa berkembang.

Pada 28 Mac lepas, Myanmar dilanda dua gempa bumi kuat -- gempa bumi berukuran 7.7 magnitud di Wilayah Sagaing diikuti gegaran kedua berukuran 6.4 magnitud di kawasan selatan -- yang meragut sekurang-kurangnya 3,600 nyawa, selain menyebabkan ribuan orang cedera dan ratusan lagi dilaporkan hilang.

Bagaimanapun, menurut Thida Tin, walaupun rakyat Myanmar sedang berusaha sedaya upaya memulihkan keadaan, bantuan tambahan masih diperlukan.

Beliau menegaskan bantuan itu bukan sahaja melibatkan operasi mencari dan menyelamat segera, tetapi juga sokongan dalam membina semula komuniti, memulihkan mata pencarian dan membantu penduduk untuk menetap semula dalam jangka masa panjang.

Sehubungan itu, katanya, Myanmar amat mengalu-alukan sokongan berterusan daripada masyarakat antarabangsa untuk proses pemulihan dan pembinaan semula kawasan yang terjejas akibat gempa bumi.

Pada 5 April, Malaysia selaku Pengerusi ASEAN, menerajui misi kemanusiaan ke Myanmar yang diketuai oleh Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Dalam lawatan itu, Mohamad dan rakan sejawatnya dari Thailand Maris Sangiampongsa, yang juga mengetuai misi kemanusiaan tersebut, bertemu dengan Pengerusi Majlis Pentadbiran Negara (SAC) Jeneral Kanan Min Aung Hlaing dan Menteri Luar Myanmar U Than Shwe di ibu negara.

Pada 30 Mac, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa kerajaan Malaysia akan menyalurkan bantuan kemanusiaan berjumlah RM10 juta sebagai sumbangan awal kepada Myanmar yang teruk terjejas akibat bencana alam tersebut.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan