DUNIA > BERITA

FORUM MEDIA DAN KUMPULAN PEMIKIR ASEAN-CHINA PLATFORM STRATEGIK KUKUHKAN KERJASAMA SERANTAU 

11/04/2025 10:24 PM

Oleh Mohd Fharkhan Abdul Ghapar

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Forum Media dan Kumpulan Pemikir ASEAN-China yang berlangsung di ibu negara, hari ini dan menghimpunkan lebih 200 peserta daripada 160 organisasi media, badan pemikir, agensi kerajaan dan syarikat dari seluruh ASEAN dan China, dilihat menjadi medium strategik bagi memperkukuh lagi kerjasama serantau dalam landskap global dan media yang terus berevolusi. 

Forum sehari yang bertemakan “Mengukuhkan Kerjasama ASEAN-China” itu dianjurkan bersama Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Agensi Berita Xinhua itu antara lain  membuka ruang perbincangan dan penerokaan peluang kerjasama dalam bidang inovasi digital, kecerdasan buatan (AI), perdagangan, ekonomi dan warisan budaya anggota serantau.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof Majlis semasa merasmikan forum itu pagi tadi menegaskan penganjuran acara itu adalah selaras dengan komitmen Kerajaan Malaysia dalam memupuk dialog serantau dan kerjasama pelbagai hala terutama di saat Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN pada tahun ini.

“Forum ini berperanan penting sebagai platform untuk membawa suara ASEAN di pentas global, menyuarakan kestabilan serantau dan memperluas kerjasama maritim di bawah inisiatif Laluan Sutera Maritim Abad ke-21, yang merupakan satu bahagian penting dalam Inisiatif Jalur dan Laluan.

Sementara itu, berdasarkan sambutan dan penyertaan yang amat memberangsangkan, Pengerusi Bernama Datuk Seri Wong Chun Wai mencadangkan supaya  forum berkenaan  dijadikan acara tahunan secara bergilir antara negara ASEAN dan China.

“Adalah baik sekiranya Forum Media dan Kumpulan Pemikir ASEAN-China ini dapat diadakan setiap tahun di negara ASEAN atau di China,” katanya selain mencadangkan penubuhan hab inovasi bagi merangsang kreativiti untuk menangani cabaran tempatan dan menyumbang kepada perkembangan pengetahuan global.

Forum ini turut dihadiri oleh Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Ketua Pengarang Agensi Berita Xinhua Lyu Yansong, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj.

Program itu merangkumi dua sesi pleno yang akan membincangkan topik seperti “Menggalakkan Pertukaran Tamadun”, “Memanfaatkan Revolusi AI” dan “Merebut Peluang Luar Biasa”, selain sesi perbincangan panel mengenai “Kesalinghubungan ASEAN-China dan Pasaran Bersama”.

Selain Wong, antara barisan penceramah yang mengambil bahagian termasuk Timbalan Pengarah Institut Xinhua Agensi Berita Xinhua Zhu Zhibin, Pengarah Eksekutif Kajian Perkongsian Indonesia-China Veronika S. Saraswati dan Timbalan Ketua Pengarah Agensi Berita Laos, Sivanxay Siphankham.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan