DUNIA > BERITA

BEKAS PRESIDEN KOREA SELATAN HADIR PERBICARAAN JENAYAH PERTAMA ATAS TUDUHAN PEMBERONTAKAN

14/04/2025 05:21 PM

SEOUL, 14 April (Bernama-Yonhap) -- Bekas Presiden Korea Selatan Yoon Suk Yeol pada Isnin menghadiri perbicaraan jenayah pertamanya atas tuduhan pemberontakan berkaitan percubaannya untuk melaksanakan undang-undang tentera pada Disember lepas, lapor Agensi Berita Yonhap.

Yoon tiba di Mahkamah Daerah Pusat Seoul dengan menaiki kenderaan keselamatan berwarna hitam dan memasuki bangunan melalui tempat letak kereta bawah tanah.

Perbicaraan pertama bermula sebelum 10 pagi, dengan Yoon duduk di tempat duduk tertuduh mengenakan sut berwarna biru gelap. Fotografi dan rakaman oleh pihak media tidak dibenarkan mengikut perintah mahkamah.

Yoon, bekas pendakwa raya tertinggi, menghadapi pertuduhan mengetuai pemberontakan melalui pengisytiharan undang-undang tentera secara singkat pada 3 Disember.

Beliau menghadapi pendakwaan di Parlimen beberapa hari kemudian dan dilucutkan jawatan secara rasmi pada 4 April selepas Mahkamah Perlembagaan sebulat suara mengesahkan pendakwaannya.

Semasa perbicaraan Isnin, mahkamah akan melakukan pengesahan identiti terhadap Yoon sebelum pihak pendakwaan dan pasukan pembelaan masing-masing mengemukakan pertuduhan serta hujah.

Dua pegawai tentera akan dipanggil sebagai saksi.

Sejak disingkirkan, Yoon telah berpindah dari kediaman rasmi presiden di Hannam-dong, Seoul dan kembali ke kediaman peribadinya yang terletak kira-kira 10 minit berjalan kaki dari mahkamah.

-- BERNAMA-YONHAP


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan