DUNIA > BERITA

PELARIAN SUDAN DI MESIR MULAKAN PERJALANAN PULANG DENGAN HARAPAN KEAMANAN

17/04/2025 03:43 PM

KAHERAH, 17 April (Bernama-Xinhua) -- Deretan bas menunggu di sebuah kawasan di ibu negara Mesir, Kaherah, bersedia membawa pulang keluarga pelarian Sudan ke tanah air mereka.

Ibu bapa menyusun bagasi sambil memerhati anak-anak mereka, wajah mereka terpancar rasa rindu dan harapan ketika menyaksikan barangan dimuatkan ke dalam bas untuk perjalanan yang dinanti sekian lama.

Antara mereka ialah Youssef Al-Waleed, seorang lelaki berusia 30-an yang sedang menyusun barang keluarganya di sebelah sebuah bas. Isteri dan dua anaknya duduk berhampiran, menanti waktu bertolak.

"Orang asing pasti akan pulang ke tanah airnya suatu hari nanti," kata Youssef kepada Xinhua. "Kita mesti kembali ke rumah dan tanah kita. Namun, Mesir tetap akan menjadi negara kedua kami, tanpa ragu."

Tidak jauh dari situ, Mousa Othman Yassin, 63, duduk bersama isterinya. Mousa berkata beliau datang ke Mesir untuk mendapatkan rawatan perubatan, bukannya melarikan diri daripada peperangan, memandangkan bekalan ubat-ubatan penting semakin sukar diperoleh di Sudan akibat keadaan keselamatan yang merosot.

"Sekarang, saya berharap dapat pulang dan tidak lagi melalui penderitaan yang memaksa kami meninggalkan rumah," katanya.

Konflik bersenjata tercetus pada pertengahan April 2023 antara Angkatan Tentera Sudan (SAF) dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces, berpunca daripada ketegangan berkaitan peralihan politik yang dirancang. Konflik itu meragut puluhan ribu nyawa, memaksa lebih 15 juta orang meninggalkan kediaman, dan menjadikan Sudan antara krisis kemanusiaan terburuk di dunia menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Pada akhir Mac, SAF mengumumkan kejayaan menguasai beberapa kawasan di ibu negara Khartoum dan menyeru rakyat Sudan di luar negara untuk pulang membantu usaha membangunkan semula negara.

Penasihat inisiatif di Kedutaan Sudan di Kaherah, Amin Ismail, menganggarkan kira-kira 3,000 rakyat Sudan pulang ke tanah air setiap hari dan jumlah itu dijangka meningkat berikutan pelbagai inisiatif ditawarkan menerusi program kembali ke tanahair secara sukarela.

Beliau berkata semangat rakyat semakin pulih, manakala perkhidmatan awam juga kembali beroperasi di Khartoum, Bahri dan Omdurman, tiga bandar raya utama di kawasan ibu negara Sudan sekali gus mendorong peningkatan jumlah pelarian yang kembali.

Dalam kalangan orang ramai, Mohamed Issa, seorang ejen pelancongan dari Aswan, Mesir selatan, sibuk membantu penumpang dan memastikan semua yang tersenarai ada sebelum berangkat.

Syarikatnya menyediakan perjalanan percuma kepada rakyat Sudan yang tidak mampu membeli tiket. "Mesir dan Sudan bersaudara dan kita harus saling membantu ketika krisis," katanya. "Saya berasa gembira melihat senyuman mereka ketika kembali ke tanah air."

Menurutnya, perjalanan pulang seperti itu dianjurkan sejak lebih sebulan lalu dan beliau menganggarkan lebih 3,000 rakyat Sudan melakukan perjalanan setiap hari.

Disebabkan kedekatan geografi dan hubungan sejarah, Mesir kini menjadi negara tuan rumah terbesar kepada pelarian Sudan yang melarikan diri daripada konflik.

Berdasarkan data kerajaan Mesir dan Suruhanjaya Tinggi PBB untuk Pelarian (UNHCR), lebih 1.2 juta rakyat Sudan telah mencari perlindungan di Mesir sejak konflik itu bermula.

Antara mereka yang pulang ialah Amin Awad dan keluarganya, yang berpindah ke Mesir kira-kira lapan bulan lalu akibat pertempuran sengit di kawasan kejiranan mereka di Khartoum.

"Saya tidak pernah rasa seperti orang asing di Mesir. Rakyat Mesir dan rakyat Sudan sama sahaja. Kami benar-benar seperti satu bangsa," kata Amin, bapa kepada enam anak.

Beliau menyuarakan harapan agar keamanan dan kestabilan akan dapat dinikmati semula di Sudan dan dunia Arab. "Keselamatan itu segalanya," katanya.

-- BERNAMA-XINHUA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan