HAMILTON, 22 April (Bernama-Anadolu) -- Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Isnin berkata sekatan penuh Israel terhadap bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza kini memasuki hari ke-50, memberi amaran tentang keadaan yang semakin merosot yang membahayakan nyawa orang awam, lapor Anadolu Ajansi.
"Hari ini menandakan 50 hari sejak pihak berkuasa Israel menyekat sepenuhnya bekalan masuk ke Semenanjung Gaza," kata jurucakap PBB Stephane Dujarric pada sidang akhbar.
Memetik Pejabat PBB untuk Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA), Dujarric berkata: "Sejak awal Mac, tiada satu trak pun yang membawa makanan, bahan api, ubat-ubatan atau apa-apa keperluan lain telah dibenarkan masuk, walau sepenting mana pun bekalan itu untuk kelangsungan hidup penduduk.”
Beliau memberi amaran mengenai stok makanan yang "sangat rendah" di kawasan itu, Dujarric berkata: "Catuan telah dipotong. Ubat-ubatan penting, vaksin, dan bekalan perubatan kini hampir kehabisan."
“Ambulans terpaksa mengurangkan perkhidmatan menyelamatkan nyawa kerana hampir tiada bahan api untuk menggerakkan kenderaan itu. Gas memasak telah lenyap dari pasaran. Kedai roti pula terpaksa ditutup,” katanya.
Dujarric memberi amaran bahawa “kesan sekatan penuh - penyekatan berterusan - bantuan kemanusiaan adalah amat dahsyat. Kanak-kanak dan orang dewasa kini kelaparan. Akses kepada rawatan kesihatan semakin lumpuh,” sambil menambah bahawa “serangan terhadap orang awam, termasuk pasukan kecemasan dan petugas bantuan, kembali meningkat.”
Merujuk siasatan dalaman Israel berhubung serangan udara yang mengorbankan petugas bantuan di Rafah, beliau berkata: “Berdasarkan penemuan itu, jelas bahawa terlalu ramai orang awam, termasuk petugas bantuan, telah terbunuh di Gaza.”
“Perlu ada akauntabiliti - akauntabiliti yang serius - untuk semua mereka yang telah melakukannya,” tegasnya, sambil menyatakan bahawa siasatan PBB akan memerlukan mandat khusus.
Mengenai rundingan gencatan senjata, Dujarric berkata: “Apa yang boleh kami harapkan ialah satu persetujuan dicapai agar bantuan kemanusiaan kembali disalurkan ke Gaza tanpa halangan.”
Tentera Israel menyambung semula serangan ke atas Gaza pada 18 Mac, sekali gus menamatkan perjanjian gencatan senjata dan pertukaran tahanan yang dimeterai pada 19 Jan.
Secara keseluruhan, lebih 51,200 rakyat Palestin terbunuh di Gaza sejak Oktober 2023.
Israel menghentikan penghantaran bantuan ke wilayah itu pada 2 Mac, beberapa jam selepas fasa pertama perjanjian gencatan senjata selama 42 hari berakhir.
-- BERNAMA-ANADOLU
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial