DUNIA > BERITA

EMPAT PELAJAR MAUT SUSULAN DINDING TANGKI AIR RUNTUH DI SEKOLAH BERASRAMA INDONESIA

26/04/2025 10:25 PM

JAKARTA, 26 April (Bernama) -- Empat pelajar maut manakala 11 lagi cedera selepas dinding tangki simpanan air runtuh di sebuah sekolah berasrama penuh Islam di Jawa Tengah, Indonesia, menurut pegawai pada Jumaat.

Insiden berlaku kira-kira 10.30 pagi waktu tempatan pada Jumaat di Pondok Modern Darussalam Gontor di Kabupaten Magelang, ketika pelajar sedang bersiap untuk mandi sebelum memulakan aktiviti persekolahan.

"Seramai 29 pelajar terlibat dalam kejadian itu. Daripada jumlah itu, 25 berjaya diselamatkan, namun 11 orang mengalami kecederaan dan dihantar ke pusat kesihatan berdekatan.

"Empat pelajar lain tertimbus di bawah runtuhan," kata jurucakap Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan (BNPB), Abdul Muhari, dalam satu kenyataan.

Pasukan penyelamat daripada Badan Pengurusan Bencana Daerah (BPBD) Magelang bersama agensi kecemasan lain telah digerakkan ke lokasi kejadian.

"Semua mangsa berjaya dikeluarkan satu demi satu iaitu yang pertama pada 6.00 petang, kedua pada 7.20 malam, ketiga pada 8.00 malam, dan keempat pada 11.20 malam pada hari sama," katanya.

Satu pasukan gabungan termasuk kakitangan sekolah sedang meneruskan kerja-kerja pembersihan serpihan runtuhan, sementara siasatan mengenai punca kejadian masih dijalankan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan