Oleh Nabilah Saleh
PUTRAJAYA, 1 Mei (Bernama) -- Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) menzahirkan penghargaan terhadap tindakan segera Malaysia dalam memberikan bantuan kemanusiaan ekoran gempa bumi yang melanda Myanmar baru-baru ini, sambil menyifatkannya sebagai respons yang tepat pada masanya dan memberi kesan besar kepada komuniti terjejas.
Pengarah Serantau UNICEF bagi Asia Timur dan Pasifik, June Kunugi berkata Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia atau (SMART) tiba awal di lokasi bencana walaupun ketika cuti sambutan Aidilfitri, dan merupakan antara yang terawal menyertai misi menyelamat.
“Saya pernah berkhidmat di Myanmar selama tiga tahun setengah, jadi saya kenal ramai kakitangan kami di sana. Ada antara mereka yang kehilangan rumah dan segala-galanya.
“Malaysia bertindak pantas menghantar pasukan SMART walaupun dalam tempoh perayaan dan mereka menyelamatkan nyawa.
"Rakyat di lapangan amat menghargai bantuan itu,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Perkhidmatan Berita Antarabangsa Bernama di sini.
Kunugi berkata tindakan pantas Malaysia, bersama pasukan dari Thailand dan China menunjukkan betapa pentingnya sokongan antara rakyat dan kerjasama serantau ASEAN dalam menghadapi bencana alam.
Beliau yang sebelum ini mengetuai Pejabat Negara dan Wilayah UNICEF di Myanmar berkata, ramai kakitangan UNICEF di negara itu turut terkesan secara langsung, termasuk yang kehilangan tempat tinggal akibat bencana berkenaan.
Beliau turut menyuarakan penghargaan kepada Thailand dan China atas bantuan yang diberikan, sambil menekankan bahawa solidariti seperti ini mencerminkan pentingnya kerjasama serantau ketika berdepan krisis.
Dalam kejadian gempa bumi berukuran 7.7 pada skala Richter yang melanda Myanmar baru-baru ini, satu kontijen SMART seramai 50 anggota digerakkan ke Naypyidaw untuk melaksanakan operasi mencari dan menyelamat dalam keadaan mencabar, termasuk gegaran susulan serta kerosakan infrastruktur.
Gempa bumi itu menyebabkan kemusnahan besar, termasuk di Mandalay dan kawasan sekitarnya, dengan lebih 1,600 orang terkorban manakala lebih 3,400 lagi cedera.
Gegaran turut dirasai di luar sempadan Myanmar dan menyebabkan kerosakan struktur serta korban jiwa di negara jiran seperti Thailand, khususnya di Bangkok.
Mengulas impak bencana berkaitan iklim yang semakin meluas di rantau ini, Kunugi berkata Asia Timur dan Pasifik antara kawasan paling terjejas di dunia, dengan dua daripada setiap kanak-kanak mengalami empat atau lebih bencana iklim ekstrem setiap tahun.
Beliau menegaskan keperluan untuk meningkatkan pelaburan dalam infrastruktur dan perkhidmatan ketahanan iklim, khususnya dalam sektor yang memberi kesan langsung kepada kanak-kanak seperti pendidikan, kesihatan, air dan sanitasi.
“Ini termasuk membina sekolah yang tahan banjir, menggunakan tenaga solar di kemudahan kesihatan dan meningkatkan sistem rantaian sejuk untuk vaksin,” katanya.
Kunugi turut menyentuh gangguan pendidikan akibat bencana, merujuk kepada Taufan Yagi tahun lalu yang menyebabkan sekolah-sekolah di beberapa kawasan di Vietnam ditutup selama berbulan-bulan, sekali gus menangguhkan sesi persekolahan kanak-kanak.
Beliau juga berkata bahawa dalam situasi kecemasan, UNICEF turut mempromosikan penubuhan ruang mesra kanak-kanak bagi menyediakan persekitaran selamat, perkhidmatan asas dan sokongan psikososial.
UNICEF akan terus bekerjasama dengan negara anggota ASEAN termasuk Malaysia untuk memperkukuh kesiapsiagaan dan langkah tindak balas terhadap bencana yang semakin kerap dan teruk.
“Ruang ini menyediakan perlindungan untuk kanak-kanak dan keluarga dengan kemudahan rawatan perubatan, kebersihan dan kaunseling. Dalam situasi yang asing atau sesak, ia sangat penting untuk menjamin keselamatan mereka.
“Perubahan iklim kini sebati bersama kita, dan kita mesti bersedia.
“Tindakan Malaysia di Myanmar bukan sahaja wajar dipuji, malah menjadi contoh kepimpinan dan kerjasama serantau yang perlu diteruskan pada masa depan,” kata Kunugi, yang dilantik sebagai Pengarah Serantau UNICEF bagi Asia Timur dan Pasifik pada Julai 2024.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial