HOUSTON (Amerika Syarikat), 6 Mei (Bernama-Anadolu) -- Sekurang-kurangnya tiga orang maut manakala 11 lagi dilaporkan hilang selepas sebuah bot terbalik di perairan berhampiran San Diego, California pada Isnin, lapor Anadolu Ajansi.
Jabatan Sheriff San Diego memaklumkan kepada media tempatan bahawa bot sepanjang 3.7 meter itu terbalik di Pantai Negeri Torrey Pines, kira-kira 32.2 kilometer ke utara San Diego pada 6.30 pagi waktu tempatan (1330GMT).
Pihak berkuasa percaya terdapat 18 orang di atas bot itu.
Seramai tiga mangsa disahkan maut, empat berjaya diselamatkan oleh pasukan kecemasan dan dihantar ke hospital, manakala usaha mencari 11 mangsa yang masih hilang sedang giat dijalankan.
Jabatan Sheriff San Diego memaklumkan bahawa pihaknya bekerjasama dengan Pengawal Pantai Amerika Syarikat (USCG) dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa.
Sementara itu, pegawai dari Jabatan Bomba Encinitas memberitahu stesen televisyen CBS8 bahawa beberapa doktor yang kebetulan melalui kawasan itu dalam perjalanan ke tempat kerja telah berhenti untuk membantu melakukan CPR terhadap mangsa terselamat.
Masih terlalu awal untuk mengesahkan sama ada individu di atas bot merupakan pendatang tanpa izin.
Beberapa agensi kecemasan lain turut terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat.
-- BERNAMA-ANADOLU
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial