Oleh Kenny Teng
BANGKOK, 9 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra dan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju untuk mengadakan mesyuarat Kabinet bersama pada akhir tahun ini di kawasan sempadan Sadao-Bukit Kayu Hitam.
Paetongtarn, menerusi hantaran di akaun rasmi X miliknya, berkata perkara itu dibincangkan semasa perbualan telefon bersama Anwar pada Khamis bagi menangani isu kepentingan bersama dan kebimbangan antara kedua-dua negara.
“Kami bersetuju menghadiri pembukaan jalan rentas sempadan baharu yang menghubungkan pusat pemeriksaan Sadao-Bukit Kayu Hitam dan mengadakan mesyuarat Kabinet bersama di situ pada akhir tahun ini,” katanya.
Paetongtarn berkata Thailand dan Malaysia menegaskan semula kepentingan menamatkan keganasan di wilayah sempadan selatan Thailand serta memperkukuh kerjasama untuk bersama-sama membangunkan kawasan sempadan kedua-dua pihak.
Beliau berkata mereka juga membincangkan cara untuk mengukuhkan kerjasama ASEAN dalam menghadapi cabaran perdagangan global selain memberikan bantuan kemanusiaan dan menyokong usaha mengembalikan keamanan di Myanmar.
“Saya akan meneruskan perbincangan dengan Perdana Menteri Anwar semasa Sidang Kemuncak Pemimpin ASEAN akhir bulan ini di Kuala Lumpur,” tambahnya.
Anwar mengadakan lawatan kerja dua hari ke Thailand bulan lepas, di mana beliau bertemu dengan Paetongtarn untuk meningkatkan hubungan dua hala dan kerjasama dalam projek infrastruktur rentas sempadan, khususnya di selatan Thailand.
Semasa lawatan itu, kedua-dua perdana menteri menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) bagi Perjanjian Pembinaan (CA) Projek Jambatan Rantau Panjang - Sungai Golok.
Pada 2024 Thailand merupakan rakan dagangan ketujuh terbesar Malaysia di dunia dan ketiga terbesar dalam ASEAN, dengan jumlah perdagangan berjumlah US$25.03 bilion (RM114.56 bilion).
Antara Januari dan Februari tahun ini, perdagangan dua hala berjumlah US$3.96 bilion (RM17.65 bilion), meningkat daripada US$3.67 bilion (RM16.80 bilion) dalam tempoh yang sama pada 2024.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial