DUNIA > BERITA

PULO KECAM ISRAEL HALANG MISI KEMANUSIAAN GLOBAL SUMUD FLOTILLA

02/10/2025 10:07 PM

Oleh Tuwaedaniya Meringing

PATTANI, 2 Okt (Bernama) -- Pertubuhan Pembebasan Patani Bersatu (PULO) pada Khamis mengecam tindakan Israel menghalang kapal misi Global Sumud Flotilla (GSF) yang membawa bekalan kemanusiaan dan aktivis antarabangsa untuk membantu rakyat Gaza.

Presiden PULO Kasturi Mahkota, berkata serangan itu merupakan pelanggaran jelas undang-undang antarabangsa, hak asasi manusia dan prinsip kemanusiaan sejagat.

“PULO mengecam sekeras-kerasnya tindakan kejam dan tidak berperikemanusiaan Israel. Serangan terhadap misi bantuan kemanusiaan ini adalah jenayah yang tidak boleh diterima oleh mana-mana masyarakat bertamadun,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Kasturi menegaskan bahawa PULOl mendesak komuniti antarabangsa, khususnya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), untuk mengambil tindakan segera, tegas dan berkesan bagi menghentikan keganasan ini serta membawa pihak yang bertanggungjawab ke muka pengadilan,.

Beliau menambah, PULO akan terus menyokong setiap usaha kemanusiaan dan keamanan yang ikhlas demi keadilan sejagat serta kebebasan rakyat Palestin.

Misi kemanusiaan GSF disertai oleh sukarelawan dari pelbagai negara termasuk Malaysia, yang belayar menuju ke Gaza dengan membawa bekalan bantuan asas untuk rakyat Palestin yang terkesan akibat serangan berterusan rejim Zionis.

Setakat 3.39 petang ini, 15 sukarelawan Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan itu telah ditahan secara tidak sah oleh Israel, ketika pelayaran GSF memasuki zon merah di perairan Gaza.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan