Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar
JAKARTA, 10 Okt (Bernama) -- Indonesia, yang mempunyai lebih 230 juta penduduk Islam dan terkenal dengan warisan semula jadi serta budaya yang kaya, sedang berusaha untuk memainkan peranan utama dalam pelancongan mesra Muslim, kata Menteri Pelancongan Widiyanti Putri Wardhana.
Beliau berkata skala besar Indonesia, kekayaan warisan, serta kemudahan infrastrukturnya termasuk lebih 309,000 masjid dan 376,000 surau di lapangan terbang, pusat beli-belah dan lokasi pelancongan menjadi asas kukuh dalam menarik kedatangan pelancong Muslim.
Berucap pada Sidang Kemuncak Pelancongan Halal Antarabangsa di Jakarta Pusat pada Khamis, Widiyanti menekankan kepentingan menambah baik tarikan, kebolehcapaian dan kemudahan bagi menyerlahkan penawaran pelancongan mesra Muslim di negara itu.
“Kita perlu merangka dan mempromosikan pengalaman ini sebagai sesuatu yang unik dan mesra Muslim, mencerminkan identiti kita serta menarik minat pelawat antarabangsa,” katanya dalam kenyataan.
Kementerian turut merancang untuk memanfaatkan 36 lapangan terbang antarabangsa, memperluas akses tanpa visa dan visa semasa ketibaan, serta memastikan persekitaran pelancongan yang inklusif dan selamat.
Produk yang diperakui halal sedang diperluaskan daripada 20 kampung pelancongan kepada 15,000 kampung di 15 wilayah, manakala portal khas untuk pelancong Muslim akan memudahkan perancangan perjalanan.
Bagi mengukur kemajuan, Widiyanti berkata kementerian telah melancarkan Indeks Pelancongan Muslim Indonesia (IMTI) 2025 bersama Bank Indonesia, Pusat Pelancongan Halal Enhaii dan CrescentRating, iaitu pihak berautoriti global dalam bidang pelancongan dan perjalanan halal.
IMTI menilai tahap kesiapsiagaan setiap wilayah dan diselaraskan dengan Indeks Pelancongan Muslim Global, penanda aras bagi kedudukan pelancongan mesra Muslim di peringkat dunia.
“Lebih daripada sekadar penilaian, indeks ini menjadi panduan kepada piawaian kebangsaan yang konsisten agar perkhidmatan mesra Muslim di seluruh Indonesia diyakini,” tambahnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial