DUNIA > BERITA

KEMBOJA TONJOL WARISAN BUDAYA ISLAM UNTUK PERKASA SEKTOR PELANCONGAN

10/10/2025 03:25 PM

 

Oleh Vijian Paramasivam

PHNOM PENH, 10 Okt (Bernama) -- Kemboja akan menonjolkan kekayaan warisan budaya Islam dan gaya hidup luar bandar bagi merancakkan lagi sektor pelancongan domestiknya.

Terkenal dengan kepelbagaian budaya dan kuil purba, kerajaan itu kini menawarkan peluang kepada pelancong asing untuk menerokai komuniti Islam berusia berabad-abad dan identiti budaya yang terus dipelihara di perkampungan terpencil.

“Kami sedang berusaha menjadikan masjid sebagai tarikan pelancongan. Di semua wilayah yang mempunyai perkampungan Islam, pelancong asing boleh melihat sendiri sejarah, budaya dan tradisi kami.

“Di Kemboja, kami dikenali sebagai Cham (Muslim) dan kami mempunyai budaya tersendiri,” kata Setiausaha Negara Kementerian Kebudayaan dan Agama Yob Ahskary kepada Bernama di luar “Forum dan Pameran Pelancongan Mesra Muslim Kemboja”.

Kementerian Pelancongan Kemboja menganjurkan pameran bertemakan ““Assalamualaikum Cambodia: A Safe, Warm and Friendly Destination” di Masjid Al-Serkal di Phnom Penh dari 9 hingga 11 Okt bagi menarik lebih ramai pelancong Muslim ke negara itu.

Umat Islam membentuk kira-kira lima peratus atau 800,000 daripada keseluruhan 17 juta penduduk di Kemboja yang majoritinya beragama Buddha.

Sektor pelancongan negara itu terkenal dengan tapak warisan dunia yang diiktiraf UNESCO termasuk Angkor Wat dan Kuil Preah Vihear. Selain itu, pulau eksotik, pasar malam dan runtuhan bersejarah terus menarik kehadiran pelancong asing.

“Kami mempunyai 650 masjid di seluruh negara dan sedang memulihara masjid lama di sepanjang Sungai Mekong untuk dijadikan tarikan pelancongan.

“Sebahagian masjid kayu berusia lebih 100 tahun dan masih digunakan sebagai tempat ibadah. Kami mahu pelancong luar melihat bagaimana umat Islam hidup harmoni dalam negara majoriti Buddha,” kata Ahskary.

Kira-kira enam juta pelancong asing melawat negara yang bergantung kepada sektor pelancongan itu tahun lepas, termasuk hampir setengah juta pelancong Muslim.

Kerajaan terus meningkatkan infrastruktur pelancongan seperti lapangan terbang, pelabuhan dan lebuh raya untuk menjadikan Kemboja sebagai destinasi pelancongan utama di rantau ASEAN.

Lapangan Terbang Antarabangsa Techo bernilai RM6 bilion (US$1.5 bilion) yang mula beroperasi pada 9 Sept merupakan antara projek penting bagi meningkatkan tahap ketersambungan.

Timbalan Setiausaha Negara Kementerian Pelancongan Kemboja Mohammat Younes memberitahu Bernama bahawa kerajaan memberi tumpuan kepada pelbagai strategi bagi menarik lebih ramai pelancong Muslim.

“Strategi kami tertumpu kepada aspek kebolehcapaian, persekitaran, komunikasi dan perkhidmatan. Kami memperluas rangkaian penerbangan ke lebih banyak negara Islam.

“Lebih banyak syarikat penerbangan dari destinasi Islam kini beroperasi ke Kemboja. Secara rasmi, kini terdapat empat syarikat penerbangan mendarat di sini dan kami akan menambah dua lagi penerbangan antarabangsa tidak lama lagi,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan