Oleh Shakir Husain
NEW DELHI, 12 Okt (Bernama) -- Kira-kira 2,000 orang menghadiri “ASEAN Bazaar”, sebuah program yang mempamerkan budaya dan kulinari Asia Tenggara di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi.
Mereka yang hadir termasuk anggota kor diplomatik di ibu negara India, komuniti ASEAN, pegawai kerajaan India, pelajar serta keluarga.
Misi diplomatik ASEAN membuka gerai pameran bagi memperkenalkan pelbagai jenis makanan, minuman dan kraftangan yang mencerminkan kepelbagaian di rantau berkenaan.
Acara yang berlangsung pada Sabtu itu turut menampilkan pelbagai persembahan muzik dan tarian tradisional dari negara-negara anggota ASEAN.
Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke India, Datuk Muzafar Shah Mustafa berkata penganjuran “ASEAN Bazaar 2025” oleh Malaysia bertepatan dengan tahun Malaysia mempengerusikan ASEAN, bertemakan “keterangkuman dan kemampanan”.
Dalam ucapannya, beliau menekankan kekayaan budaya, integrasi ekonomi serta hubungan blok yang semakin erat dengan India.
“Hari ini, kita bukan sahaja meraikan makanan dan budaya. Kita meraikan keunikan rantau kita — kepelbagaian, kreativiti serta semangat kekitaan yang kuat,” katanya.
Beliau turut memuji hubungan ASEAN-India yang semakin kukuh dan menegaskan bahawa kedua-dua pihak mempunyai ruang kerjasama yang luas dalam bidang tenaga hijau, teknologi digital dan pembangunan mampan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial